MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
KAMPAR - Dua operator pengeluaran wanita maut manakala lapan penumpang sebuah bas kilang cedera apabila bas tersebut dirempuh sebuah treler di Kilometer 38.5, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Rohani Ramli, 38, maut di tempat kejadian sementara Russiah Mohamed Yusof, 44, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada pukul 10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa yang cedera ringan ialah T. Chandravathi, 22; Norhaliza Mohd. Nawi, 43; Zaiton Busu, 43; S. Amkala, 25; dan M. Malini, 22; Shila Hashim, 25; Suriati, 27 dan Elizabeth Selvi, 39.
Mangsa-mangsa yang cedera itu dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kampar manakala pemandu bas dan pemandu treler tidak cedera.
Menurut beliau, semasa kejadian, bas tersebut membawa 10 penumpang dalam perjalanan menghantar pekerja sebuah kilang elektronik di Simpang Pulai, Ipoh pulang di rumah masing-masing di sekitar pekan ini dan Mambang Di Awan dekat sini.
“Ketika bas tersebut membelok ke arah Mambang Di Awan di persimpangan lampu isyarat Kampar - Teluk Intan, sebuah treler dari arah Kuala Lumpur merempuh sisi kiri bas berkenaan.
“Rempuhan itu menyebabkan bas kilang tersebut terseret tiga kilometer. Bahagian kiri bas berkenaan remuk teruk,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Abdul Aziz berkata, kedua-dua penumpang bas itu terbunuh akibat cedera di kepala.
Pemandu treler berusia 32 tahun itu telah di tahan di bawah Seksyen 41 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, anak tiri Rohani, Mohd. Shafiq Ahmad Maskor, 20, tidak dapat menahan sebak kehilangan ibu tiri dalam kemalangan seperti kejadian sama yang meragut nyawa ibu kandungnya pada tahun 1993.
“Kedua-dua orang yang saya sayang diambil cara sebegini,” ulang Mohd. Shafiq berkali-kali sambil ditenteramkan neneknya, Rokiah Din, 58 di perkarangan Rumah Mayat Hospital Kampar.
No comments:
Post a Comment