Translate

Tuesday, April 24, 2012

34 keluarga miskin Tapah dibantu

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH - Seramai 34 keluarga miskin yang kebanyakan daripada kaum India sekitar bandar ini menerima bantuan berupa buku pelaburan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) dan sewa rumah daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk M. Saravanan berkata, ia merangkumi 25 ketua isi rumah yang masing-masing menerima wang prinsipal RM10,000 dalam bentuk pelaburan ASW 2020.

“Selain itu, sembilan penerima lain yang juga golongan miskin dan miskin tegar mendapat bantuan sewa rumah sebanyak RM1,488 setahun.

“Ia sebahagian daripada program pembasmian kemiskinan bandar yang dilancarkan kementerian sejak tahun 2009,” katanya selepas menyampaikan bantuan terbabit kepada individu terlibat di Dewan Mahatma Gandhi di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah, Razali Bakar.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, program terbabit memberi fokus untuk meringankan beban golongan miskin dan miskin tegar bandar dengan memberi pendapatan tambahan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan terbabit.

Menurut beliau, selain pemberian buku pelaburan ASW 2020 dan bantuan sewa rumah, antara projek di bawah program tersebut adalah bantuan bina dan baik pulih rumah serta latihan kemahiran dan keusahawan.

“Pemberian bantuan berkenaan kepada keluarga miskin dan miskin tegar itu bergantung kepada pangkalan data e-kasih,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saravanan berkata, seramai 5,805 keluarga telah mendapat manfaat bantuan wang prinsipal RM10,000 dalam bentuk pelaburan ASW 2020 sejak ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009.

No comments:

Post a Comment