Translate

Tuesday, April 3, 2012

Tapak pelupusan sampah ditutup

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Rasa tidak selesa lebih 6,000 penduduk sekitar Tanjung Rambutan dekat sini yang terpaksa menghidu bau busuk selama 26 tahun kini berakhir apabila  tapak   pelupusan   sampah   Bercham  ditutup secara rasminya di sini kelmarin.

Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Abdul Rahim Md. Ariff berkata, keputusan menghentikan operasi  tapak   pelupusan   sampah  yang mula dibuka pada tahun 1986 itu dibuat selepas mengambil kira pandangan penduduk dan Jabatan Alam Sekitar.

" Tapak   pelupusan   sampah   Bercham  yang luasnya 38.88 hektar ini menerima sehingga 700 tan  sampah  sehari kini didapati sudah semakin hampir dengan kawasan kediaman sekitar.

"Kita khuatir jika dibiarkan, akan berlaku gelongsoran pada bukit  sampah  di  tapak   pelupusan  terbabit yang kini setinggi 15 meter kerana ia kini sudah terlalu padat dengan  sampah ," katanya selepas secara simbolik menutup  tapak   pelupusan   sampah   Bercham  di Tanjung Rambutan dekat sini kelmarin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Datuk Rosnah Kassim.

Abdul Rahim seterusnya memberitahu,  tapak   pelupusan   sampah   Bercham  telah mengaplikasi sistem  pelupusan  tahap satu iaitu melupuskan  sampah  dengan cara memadat dan menimbus ke dalam tanah tanpa kawalan pelepasan gas metana.

Menurut beliau, MBI merancang untuk memulihkan semula lokasi  tapak   pelupusan   sampah  tersebut terutama membebaskan kawasan itu daripada air larut resapan dan gas metana.

"Kami telah menjangka tempoh selama 18 bulan diperlukan untuk merawat sepenuhnya  tapak   pelupusan   sampah  berkenaan sebelum ia boleh dimajukan sebagai padang rekreasi untuk kegunaan penduduk.

"Selepas ini, lokasi pengumpulan sisa-sisa pepejal dan  sampah  untuk penduduk bandar raya ini akan dipindahkan di  tapak   pelupusan   sampah  Papan dekat sini yang mula beroperasi sejak 31 Mac," katanya.

Abdul Rahim seterusnya memberitahu,  tapak   pelupusan  baharu seluas 226.9 hektar itu menggunakan teknologi tahap empat yang lebih canggih dan sensitif dengan isu alam sekitar.

Kosmo! pada 9 Januari lalu melaporkan lebih 6,000 penduduk di tujuh penempatan di Tanjung Rambutan di sini menggesa MBI menunaikan janji sejak lima tahun lalu untuk memindahkan  tapak   pelupusan   sampah   Bercham  ke tempat lain.

Penduduk mendakwa tidak sanggup lagi dengan pencemaran udara dan bau busuk  tapak   pelupusan  berkenaan dan mahu MBI berbuat sesuatu.

No comments:

Post a Comment