Translate

Thursday, March 15, 2012

Punca sebenar kematian diketahui seminggu lagi

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), R. Vinoth, 18, disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu akibat jangkitan kuman pada organ tubuh.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon menegaskan jangkitan kuman itu tidak semestinya disebabkan virus kencing tikus.

“Memang doktor pakar yang melakukan bedah siasat kedua mengesahkan kematian mangsa disebabkan jangkitan tubuh dalam badan.

“Namun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan ia disebabkan virus Leptospirosis (kencing tikus),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sehubungan itu, Hang Soon berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan jangkitan kuman yang meragut nyawa Vinoth disebabkan virus lain.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan semua pihak bersabar menunggu laporan lengkap bedah siasat kematian bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam, Selangor itu yang disasar siap sepenuhnya dalam tempoh seminggu lagi.

“Punca kematian sebenar akan diketuai setelah laporan lengkap bedah siasatan terbabit yang merangkumi analisis ujian makmal dan serologi lengkap sepenuhnya,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan bapa Vinoth, S. Raman, 47, kesal dengan pengurusan Hospital Sungai Siput (HSS) kerana enggan memberi penjelasan sebenar mengenai kematian anaknya yang merupakan pelatih PLKN di Kem Terlok, Sungai Siput pada Isnin lalu.

Sementara itu, jasad Vinoth telah selamat disemadikan di Simpang Lima, Klang, Selangor kira-kira 4 petang semalam.

No comments:

Post a Comment