Translate

Wednesday, March 21, 2012

Minyak masak 18 tan disita

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 KAMPAR - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak merampas sebuah lori tangki yang membawa muatan 18 tan minyak masak bersubsidi secara haram di sebuah kilang memproses makanan ayam di Mambang Di Awan dekat sini semalam.

Pengarahnya, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, lori tangki yang diekori dari sebuah kilang di Kamunting, Taiping itu ditahan sebaik sahaja memasuki pekarangan kilang memproses makanan ayam terbabit pada pukul 3 pagi.

"Lori tangki yang penuh dengan muatan minyak masak disyaki bersubsidi tersebut disita selepas pemilik kilang terbabit gagal mengemukakan surat kuasa membawa minyak berkenaan.

"Nilai rampasan dianggarkan RM85,500 dan pemandu lori tangki yang berusia dalam lingkungan 50-an ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Kawasan Perindustrian Mambang Di Awam III dekat sini semalam.

Mohd. Hilmi berkata, kejayaan serbuan tersebut berikutan risikan selama sebulan yang mendapati sebuah kilang penapis minyak masak di Kamunting sering membekalkan minyak masak kepada kilang memproses makanan ayam berkenaan secara tidak sah.

 Menurut beliau, urus niaga itu tidak dibenarkan kerana pengurusan kilang memproses makanan ayam itu tidak pernah memohon kebenaran memiliki minyak masak yang merupakan barangan kawalan.

"Kes disiasat  di  bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa.

"Sabit kesalahan hukuman denda RM250,000 boleh dikenakan kepada pengurusan syarikat terlibat manakala pemandu lori terbabit boleh dijatuhi hukuman denda RM100,000 atau hukuman penjara tiga tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment