Translate

Friday, March 30, 2012

Karnival Sukan Parlimen Lenggong bermula esok

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Karnival Sukan Parlimen Lenggong bakal berlangsung di Padang Majlis Daerah Lenggong (MDL) bermula esok hingga Ahad ini bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah (gambar) berkata, pelbagai acara berasaskan sukan dan rekreasi disediakan sepanjang karnival tersebut yang boleh disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut beliau, program anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong bertemakan Sihat Untuk Rakyat itu turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan selain gerai pameran dan jualan.

“Kita menjemput orang ramai khususnya dari Hulu Perak agar tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan karnival yang antara lain akan mempertandingkan 12 jenis acara berasaskan sukan dan rekreasi.

“Acara tersebut seperti Larian 1Malaysia, Senam 1Malaysia, bola sepak, bola jaring, sepak takraw, badminton, silat, sukaneka dan pertandingan tarik tali.

“Semua acara terbabit akan melibatkan segenap kelompok masyarakat daripada kanak-kanak hingga warga emas di seluruh kawasan Parlimen Lenggong,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. Lenggong terletak kira-kira 110 kilometer dari Ipoh.

Shamsul Anuar berkata, pengunjung karnival berkenaan juga berpeluang mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma di ruang pameran yang disediakan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia.

Selain itu, beliau memberitahu pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) juga boleh diperoleh pada harga berpatutan di gerai pameran Majlis Pembangunan Koperasi Parlimen Lenggong.

 Selain itu, beliau memberitahu pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) juga boleh diperoleh dengan harga berpatutan di gerai pameran Majlis Pembangunan Koperasi Parlimen Lenggong.

“Pengunjung pasti terhibur dengan persembahan tomoi, silat dan dikir barat serta penampilan dua artis iaitu Mr. Os dan Amir Ukays.

“Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi beberapa hadiah menarik seperti motosikal, basikal dan barangan elektrik menerusi cabutan bertuah,” katanya.

Karnival Sukan Parlimen Lenggong akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir pada pukul 10 pagi, Sabtu ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai karnival itu sila hubungi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong di talian 05-7679055.

No comments:

Post a Comment