IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terkejut
dengan sikap pihak berkuasa Indonesia yang tidak menghormati keputusan
Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pengambilan amah republik itu
yang dipersetujui sebelum ini.
Malah beliau menganggap tuntutan agar pembantu rumah Indonesia hanya
melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan sebagai
tidak munasabah langsung.
Menurutnya, semua syarat dan isu berbangkit telah dibincangkan secara
mendalam dalam pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo
Bambang Yudhoyono di Nusa Dua, Bali, Indonesia pada November lalu dan ia
sepatutnya dihormati.
"Kedua-dua menteri (Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan
Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia) telah berpuas hati
dengan persefahaman yang telah dicapai pada masa itu.
"Tiada apa-apa yang dibangkitkan pada waktu itu, jadi saya pun rasa
hairan setelah MoU ditandatangani, macam-macam perkara pula
dibangkitkan," katanya selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis
Kebangsaan (C) Wan Hwa 2, Menglembu di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan dan
Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi
Indonesia, Dr. Reyna Usman yang mengatakan pembantu rumah Indonesia
hanya akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700
sebulan.
Ia diikuti kenyataan bahawa majikan juga perlu membayar upah lebih
masa RM27 sehari bekerja jika memerlukan khidmat pembantu rumah
Indonesia pada hari cuti rehat mingguan mereka.
Jika mereka bekerja penuh sebulan tanpa cuti mingguan, bererti
majikan perlu membayar upah lebih masa berjumlah RM108, sebagai tambahan
kepada gaji bulanan.
Najib bagaimanapun memberi jaminan kerajaan akan cuba menyelesaikan
isu tersebut dan pada masa sama berharap pihak Indonesia kembali kepada
semangat perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.
No comments:
Post a Comment