Translate

Thursday, March 15, 2012

100 gerai pameran di karnival RTC Gopeng

GOPENG - Orang ramai dijemput untuk memeriahkan Karnival Florikultur dan Herba yang bakal diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini selama tiga hari mulai Jumaat ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Basri Jasmo berkata, karnival tersebut menyediakan 100 gerai pameran yang menjual pelbagai produk tanaman bunga-bungaan dan herba pelbagai spesies.

“Tumpuan diberikan kepada tanaman orkid yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di kalangan peminat florikultur tempatan.

“Seramai lebih 20 pengusaha dari sekitar Perak dan Lembah Klang akan mempamerkan pelbagai jenis orkid bermutu tinggi bagi jualan kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di RTC Gopeng di sini semalam.

Basri memberitahu, peminat orkid berkenaan turut berpeluang mempelajari teknik penjagaan terbaru tanaman berkenaan secara percuma menerusi Klinik Orkid kelolaan  Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan beberapa organisasi swasta.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti lain seperti pertunjukan wayang pacak, jualan buah-buahan segar dan pertandingan futsal turut diatur sepanjang karnival berkenaan.

“Penganjuran Karnival Florikultur dan Herba merupakan salah satu daripada 10 program berskala besar yang diatur RTC Gopeng sepanjang tahun ini bersempena Tahun Melawat Perak 2012,” katanya.

No comments:

Post a Comment