Translate

Tuesday, March 20, 2012

Rayuan BR1M dilanjut sehingga akhir bulan Mac

IPOH - Para pemohon yang gagal mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masih boleh membuat  rayuan  untuk mendapatkan bantuan berkenaan apabila tempoh permohonannya dilanjutkan selewat-lewatnya sehingga akhir bulan ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad  Husni  Hanadzlah (gambar) berkata, lanjutan tersebut bagi membolehkan semakan terus dilakukan bagi memastikan semua rakyat yang layak tidak terlepas daripada menerima bantuan terbabit walaupun tempoh  rayuan  berkenaan sebenarnya tamat pada 15 Mac lalu.

"Berasaskan semakan sebelum ini, 90 peratus daripada permohonan yang tidak berjaya disebabkan masalah teknikal iaitu salah mengisi borang.

"Jadi apabila mereka membuat  rayuan , kesilapan itu telah diperbetulkan dan kelulusan diberi. Oleh itu tak perlu tunggu lama untuk merayu, isi borang, hantar dan akan diproses segera," katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Perpustakaan Desa Chemor dekat sini semalam.

Ahmad Husni berkata, walaupun kerajaan masih belum menetapkan tarikh akhir permohonan  rayuan  BR1M terbabit, beliau berharap majoritinya akan dihantar selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Menurut beliau, ia bertujuan bagi melancarkan proses semakan permohonan memandangkan agensi terlibat iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bakal sibuk dengan urusan pengutipan cukai mulai April ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad  Husni  memberitahu, sejak pertengahan Februari lalu, LHDN menerima hampir 300,000 permohonan  rayuan daripada individu yang gagal menerima BRIM yang bernilai RM500 itu.

Katanya, proses semakan untuk 100,000 daripada permohonan tersebut telah selesai sementara bakinya dijangka dilunaskan dalam masa terdekat.

"90 peratus daripada 100,000 permohonan  rayuan  terbabit telah diluluskan kerana majoritinya ditolak hanya kerana masalah teknikal iaitu kesalahan mengisi borang," katanya.

Katanya lagi, pemohon yang layak untuk menerima bantuan tersebut boleh mendapatkan borang dengan mengunjungi mana-mana pejabat LHDN yang berhampiran.

Mereka juga boleh berbuat demikian dengan memuat turun borang di laman web Kementerian Kewangan menerusi www.treasury.gov.my.

No comments:

Post a Comment