TELUK INTAN - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh suaminya yang lumpuh dan cubaan membunuh diri.
Chiang Mooi Chai , 71, dituduh menyebabkan kematian suaminya, Koo Ching Kiong, 74, di rumah mereka di Eastern Garden di sini antara pukul 6 pagi dan 8.15 pagi 11 Mac lalu.
Tertuduh juga didakwa cuba mencederakan diri bagi tujuan membunuh diri pada waktu dan tarikh yang sama.
Ching Kiong ditemui mati dengan kesan kecederaan di leher akibat ditikam di atas katil sebuah bilik pada pukul 8.45 pagi sementara Mooi Chai ditemui terbaring di sisi suaminya dengan kesan cedera di leher dan perut.
Bagi pertuduhan pertama, Mooi Chai didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori sementara bagi pertuduhan kedua didakwa di bawah Seksyen 309 akta sama kerana cuba membunuh diri yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mooi Chai pada mulanya mendakwa tidak memahami pertuduhan yang dibacakan menyebabkan persidangan tertangguh selama 30 minit.
Majistret Mohd. Hizan Ali mengarahkan Mooi Chai menjalani ujian kesihatan mental di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ipoh bagi memastikan tertuduh layak dibicarakan dan menetapkan 20 April depan untuk sebutan semula kes.
No comments:
Post a Comment