Translate
Monday, March 12, 2012
Tragedi bercuti dua keluarga
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
PARIT BUNTAR - Hasrat dua keluarga untuk pergi bercuti berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut, seorang parah manakala sembilan lagi cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 181.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Alor Pongsu dekat sini semalam.
Kemalangan pukul 7.10 pagi itu berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki tujuh sekeluarga yang berhenti di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon, dirempuh oleh MPV jenis Toyota Alphard yang dinaiki enam sekeluarga.
Ekoran itu, Tang Ah Tee, 65, dan cucunya, Tan Tei Yee, 13, yang menaiki Estima maut di tempat kejadian manakala Wan Azizah Husin, 62, yang menaiki Alphard parah.
Mereka yang cedera pula ialah pemandu Estima, Tan Bee Liang, 39; penumpang, Tan Pok Teck, 32; Tan Yoke Meng, 31; Tan Poh Siong, 36, dan Tan Bee Ling, 39.
Turut cedera, pemandu Alphard, Mohsen Amdan, 34, isterinya, Wan Fatahiyyah Reamli, 32, dan tiga anak mereka, Nurisha Tasha Wafa, 7, Nur Basira Wafa, 5 dan Mohd. Ivan Mizari, setahun.
Difahamkan, keluarga Bee Liang dari Pontian, Johor dalam perjalanan untuk bercuti di sebuah destinasi pelancongan di utara tanah air sementara keluarga Mohsen hendak ke Taman Selasih, Kulim, Kedah dari Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku apabila Bee Liang bertindak memberhentikan kenderaannya di laluan kecemasan untuk membuat panggilan menggunakan telefon bimbit.
Katanya, Mohsen yang tidak menyedari tindakan Bee Liang gagal mengelak lalu merempuh belakang Estima tersebut.
"Ah Tee dan Tei Yee yang berada di dalam tempat duduk belakang Estima mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Wan Azizah pula parah," katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, rempuhan itu menyebabkan bahagian depan Alphard dan belakang Estima remuk.
Menurut Mat Fauzi, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Parit Buntar di sini dan kedua-dua mangsa yang telah meninggal dunia akan dibedah siasat hari ini.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan melulu hingga menyebabkan kematian," katanya.
Sementara itu, mangsa yang terselamat enggan ditemu bual kerana masih trauma dengan tragedi terbabit.
Labels:
jenayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
mohsen amdan, senior dan x-roommate di UIA. semoga selamat hendaknya.
ReplyDeletealhamdulillah dia sekeluarga selamat bro. mak mertua dia yang cedera sikit tapi kereta dia rasanya total lost...
Delete