Translate

Friday, March 23, 2012

‘Mahu jumpa Khairul sebelum ajal’

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH – Seorang ibu merayu campur tangan Wisma Putra bagi membolehkan dia melawat anak lelakinya yang kini meringkuk di penjara Taiwan setelah menjadi mangsa keldai dadah sejak enam tahun lalu.

Halijah Abdul Rashid, 54, berkata, anak keduanya, Khairul Azuan Abu Hasan, 32, (gambar kecil) kini ditahan di Pusat Tahanan Taoyuan, Taiwan setelah didapati bersalah memiliki 1.536 kilogram dadah jenis heroin pada 2008.

Katanya, mereka sekeluarga hanya mengetahui Khairul Azuan dipenjara di Taiwan setelah dihubungi anaknya itu pada Aidilfitri 2007, kira-kira setahun selepas menghilang diri tanpa sebarang berita.

“Sejak itu dia tidak putus mengirim surat setiap tiga bulan selain dibenarkan menghubungi keluarga dua kali setahun iaitu pada sambutan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.

“Begitupun, selepas enam tahun berlalu, hati saya sebagai ibu begitu meronta mahu bertemunya untuk melepaskan rindu walaupun tidak dibenarkan pihak berkuasa Taiwan,” rayunya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Sindu, Kampung Kepayang dekat sini semalam.

 Dia sekeluarga dikunjungi Pengerusi Biro Aduan dan Khidmat MCA Perak, Datuk Lee Kon Yin.

Halijah yang merupakan seorang pekerja am berkata, dia diberitahu pihak berkuasa negara terbabit tidak membenarkan sebarang lawatan terhadap Khairul Azuan memandangkan kesalahan yang disabitkan terhadapnya terlalu berat.

Menurut Halijah lagi, anak kedua daripada empat beradik itu telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Kai Shek, Taiwan pada 14 Jun 2006 dipercayai selepas diperangkap oleh sindiket dadah antarabangsa sebelum dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dua tahun kemudian.

"Dia pernah memberitahu telah diperangkap sindiket dadah, namun reda dan menganggap hukuman penjara seumur hidup tersebut sebagai ketentuan Allah dan memohon kami sekeluarga turut tabah.

"Saya amat berharap dapat bertemunya sebelum ajal menjemput saya dan suami (Abu Hasan Puteh, 57,) memandangkan kami tidak tahu bila anak saya itu akan dibebaskan," katanya.

Sebelum ditahan, Khairul Azuan merupakan jurukimpal dan kali terakhir dia berhubung dengan keluarga melalui kiriman surat pada 7 Februari lalu.

Dia yang telah bercerai sebelum kejadian ditahan di Taiwan itu mempunyai dua anak berusia 10 dan 12 tahun yang kini di bawah jagaan bekas isterinya.

No comments:

Post a Comment