MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menafikan kenyataan Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia bahawa pembantu rumah dari republik itu yang bakal dikirim ke Malaysia hanya akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.
Sambil menyifatkan kenyataan itu tidak berasas, Subramaniam berkata, ia juga tidak selari dengan keputusan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dicapai Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia pada Disember lalu.
“Saya ingin tegaskan setiap keputusan MoU itu masih kekal,” katanya selepas merasmikan majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Reyna Usman yang mengatakan pembantu rumah Indonesia yang akan dikirim ke Malaysia hanya akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan.
Reyna memberitahu, JTF mencapai kesepakatan terhadap empat jawatan khusus untuk pembantu rumah Indonesia iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah.
Subramaniam menjelaskan walaupun mesyuarat JTF ada mempersetujui empat pengkhususan itu, ia tidak bermaksud semua amah Indonesia yang bakal dihantar tergolong dalam kategori terbabit.
“Ada juga amah Indonesia kategori biasa yang boleh lakukan semua tugas di rumah selain mereka yang memiliki kepakaran dalam tugas khusus.
“Kita mohon begitu kerana ada banyak permintaan amah yang mempunyai kepakaran khususnya menjaga orang tua,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment