Translate

Saturday, March 3, 2012

Bukan perbuatan khianat – TNB

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KAMPAR – Kebakaran pencawang elektrik di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, Selangor yang menyebabkan sebahagian besar Bandar Baru Bangi dan Putrajaya bergelap selama hampir sejam malam kelmarin bukan disebabkan perbuatan khianat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati gangguan teknikal menjadi punca kejadian berkenaan.

“Beberapa komponen dalam pencawang elektrik tersebut telah meletup sehingga menyebabkan sebahagian pencawang terbakar.

“Bagaimanapun, ia berjaya diatasi dan bekalan elektrik dipulihkan di kawasan terlibat secara berperingkat-peringkat dalam tempoh kurang sejam,” katanya selepas merasmikan projek Baiti Jannati TNB peringkat Perak di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan sebahagian besar kawasan di Bandar Baru Bangi dan Putrajaya bergelap kira-kira sejam apabila pencawang elektrik di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi terbakar pukul 9.20 malam.

Gangguan tersebut turut melibatkan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di Putrajaya.

 Che Khalib memberitahu, kerugian ekoran kejadian itu belum diketahui dan pencawang tersebut sedang dibaik pulih dengan beberapa komponen yang rosak akan diganti.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mahadir Mohd. Noh ketika dihubungi berkata, berdasarkan siasatan awal, tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, pihak forensik bomba masih belum dapat memasuki tempat kejadian kerana ia masih diselubungi asap dan pemeriksaan hanya dijalankan di luar kawasan pencawang.

"Sisa kebakaran masih ada dan ia menyebabkan kerja-kerja memadamkan api mengambil masa yang agak lama," katanya.

No comments:

Post a Comment