Translate

Friday, March 9, 2012

Tiga anggota Geng Samuel diberkas

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Sindiket samun bersenjata melibatkan Geng Samuel yang bermaharajalela di sekitar bandar raya Ipoh, Gopeng, Kampar dan Batu Gajah sejak akhir tahun lalu berjaya ditumpaskan polis baru-baru ini.

Geng yang dianggotai lima lelaki berusia 21 hingga 30 tahun itu amat ganas dan dipercayai melakukan sekurang-kurangnya 15 kes samun bersenjata dan 12 kes curi kenderaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, modus operandi mereka adalah melakukan jenayah berkenaan pada awal pagi dan menakutkan mangsa dengan mengugut akan dicederakan dengan senjata tajam seperti parang, tukul besi dan kuku kambing.

“Hasil siasatan, Geng Samuel turut aktif melakukan jenayah pemerasan dan pengedaran dadah sejak Disember 2011.

“Pasukan khas yang ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah berjaya memberkas seorang anggota sindiket di Menglembu pada pukul 12 malam Ahad lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, suspek kedua yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau pula ditahan di kawasan sama pada pukul 1.30 pagi keesokan harinya.

Begitupun, beliau memberitahu, tangkapan dua anggota itu tidak membuatkan Geng Samuel serik malah menyamun tiga mangsa sekitar pukul 6 hingga 6.30 pagi kelmarin.

 "Selepas menyamun mangsa pertama dengan melarikan motosikal Honda EX5 dan wang tunai RM50, anggota Geng Samuel menyamun dua mangsa lain yang sedang melakukan aktiviti keagamaan di sebuah kuil di Buntong.

"Mangsa kedua ini kerugian kira-kira RM55,000 selepas wang tunai dan barangan kemas dilarikan sementara mangsa terakhir disamun wang tunai RM30,000 dan melarikan sebuah kereta Proton Putra," katanya.

Katanya, anggota ketiga Geng Samuel berjaya diberkas tidak lama selepas tiga siri samun berkenaan namun dua lagi anggota termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai D. Samuel, 28, terlepas.

Menurut beliau, siasatan lanjut berjaya menemui sebahagian barangan yang disamun seperti rantai leher, loket emas, sebuah motosikal, tiga buah kereta, pemain cakera video digital, tiga telefon bimbit, kad kredit, kad ATM dan 12 gugus kunci kereta.

"Empat bilah parang, kapak, tukul besi, kuku kambing, nombor plat kenderaan palsu, jaket pengawal keselamatan dan cukai jalan palsu turut dirampas.

"Ketiga-tiga suspek yang terlibat di dalam satu hingga 10 kes jenayah lampau telah direman sehingga Isnin depan," katanya.

Tambahnya, selain Samuel, seorang lagi lelaki yang sedang diburu ialah R. Hari Harah, 21, dan kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menyamun berkumpulan tanpa senjata api.

No comments:

Post a Comment