Translate

Friday, May 27, 2011

Tuntut nafkah terhadap Indra

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

IPOH - Norliaton Murni Zainal Abidin, 31, bekas isteri pemain bola sepak T-Team, Indra Putra Mahayudin memfailkan tuntutan nafkah, hak penjagaan anak, nafkah idah dan mutaah di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Norliaton, seorang suri rumah memfailkan tuntutan itu apabila rumah tangga mereka yang dibina pada Mac 2003 runtuh berikutan bekas pemain kebangsaan tersebut melafazkan cerai menerusi khidmat kiriman ringkas (SMS) terhadap Norliaton pada 27 April lalu.

Norliaton memberitahu, pengesahan lafaz cerai talak satu itu telah dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 18 Mei lalu.

"Sebelum jatuh talak, saya pernah memfailkan tuntutan nafkah tanpa penceraian di mahkamah sama pada 31 Mac lalu selepas dia (Indra Putra) jarang pulang ke rumah di Taman Meru 2B di sini, manakala pemberian nafkah juga tidak konsisten.

"Kali terakhir kami bertemu apabila dia balik pada 1 Syawal tahun lalu. Selepas itu dia sukar dihubungi sehinggalah saya menerima lafaz cerai menerusi SMS pada hari ke-35 berpantang melahirkan anak ketiga," dakwa wanita itu ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Begitupun, Indra Putra, 30, yang baru beraksi cemerlang membantu T-Team menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad V, Kota Bahru, Kelantan dalam perlawanan Liga Super malam kelmarin tidak menghadiri prosiding semalam.

Bekas penyerang Kelantan itu difahamkan akan diwakili peguam, Saiful Adli Mohd. Arshad dan Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di sini memerintahkan sebutan mendengar kes tersebut pada 6 Julai depan.

Norliaton berkata, dia memang sedih dengan sikap Indra Putra terutama apabila bekas suaminya tidak menjenguk anak ketiganya, Alya Nur Zalia yang lahir dua bulan lalu.

Sehubungan itu, Norliaton memberitahu, dia mahu menyelesaikan semua isu tertunggak tersebut dengan segera bagi memulakan hidup baru demi kebaikan anak-anaknya.

"Seboleh-bolehnya saya mahu selesaikan masalah ini secara baik. Saya minta Indra Putra jangan abaikan anak-anak dan hormati kami yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya," kata Norliaton.

Selain Alya Nur Zalia, Norliaton dan Indra Putra juga mempunyai dua anak lelaki, Airul Putra, 8, dan Ady Ilhan Putra, 5.

Indra Putra pernah menjadi ayam tambatan Perak termasuk membantu pasukan tersebut menjuarai Piala Malaysia pada 2000 sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Pahang enam tahun kemudian seterusnya Kelantan dan T-Team.

No comments:

Post a Comment