Translate

Sunday, May 1, 2011

Program Seni Silat Warisan Malaysia bermula 11 Jun

IPOH - Kejohanan Seni Silat Warisan Malaysia yang berkonsepkan program realiti bagi mencari pasukan silat terbaik akan berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar dekat sini pada 11 Jun ini.

Akhbar Kosmo! merupakan media rasmi pertandingan anjuran Homeland Frontier Sdn. Bhd. (Homeland Frontier) dengan kerjasama K Perak Implementaion and Coordination Corporation (K Perak).

Pengarah kejohanan, Jak Othman berkata, kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu bertemakan ‘Pertembungan Hulubalang’ yang bakal menyaksikan pertembungan sengit 20 pasukan silat tempatan dan wakil antarabangsa untuk merebut gelaran pendekar.

“Kejohanan ini bertujuan untuk menghidupkan semula tradisi pemilihan hulubalang muda yang pernah dipraktikkan pada zaman Kesultanan Melayu pada zaman dahulu.

“Format kejohanan ini akan dilakukan mengikut tradisi zaman dahulu iaitu setiap pasukan akan diuji dengan tiga kategori iaitu aspek bunga silat, tempur tanpa senjata dan tempur bersenjata,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Jak, selain ketiga-tiga disiplin asas seni silat tersebut, kategori serikandi pula melibatkan pesilat wanita turut diadakan.

Saingan dalam kejohanan seni silat tersebut dijangka sengit berikutan ia disertai oleh beberapa pertubuhan silat tempatan terkenal yang pernah melahirkan ramai jaguh persilatan antarabangsa.

"Antaranya Pertubuhan Silat Serimau Hitam, Gayung Pattani, Silat Cekak Malaysia, Anggerik Jingga dan Silat Lincah. Selain itu, pasukan antarabangsa seperti dari Britain, Australia dan Kuwait akan turut mengambil bahagian.

Kejohanan tersebut akan disiarkan secara dokumentasi oleh stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan syarikat luar.

2 comments: