Translate

Monday, May 9, 2011

Bimbang anak jatuh Sungai Perak


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SUNGAI SIPUT – Sambutan Hari Ibu yang diraikan semalam merupakan yang paling getir buat bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 34, apabila anak sulungnya tiba-tiba hilang dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Perak berhampiran Kampung Jawang, Karai dekat sini kelmarin.

Anak Kartika iaitu Mohd. Azfar Mohamad Afandi, 9, yang merupakan golongan kelainan upaya (OKU) dikatakan hilang kira-kira 12 tengah hari ketika sedang bermain seorang diri di dalam sebuah bilik di Resort Lang Buana milik datuknya, Shukarnor Abdul Mutalib, 62.

“Luluh hati saya memikirkan kehilangan Mohd. Azfar. Saya cuba kuatkan diri dengan tak putus-putus membaca surah Yasin dan mendirikan solat hajat agar dia segera ditemui.

“Saya bersedia untuk terima semua kemungkinan namun naluri keibuan saya kuat mengatakan anak sulung saya masih selamat,” katanya dengan nada tersekat-sekat menahan kesedihan ketika ditemui di Resort Lang Buana, Kampung Jawang, Karai dekat sini semalam.

Bekas suami Kartika, Mohamad Afandi Amir, 39, sampai ke resort tersebut dari Singapura kira-kira pukul 12.30 malam semalam setelah dimaklumkan berita kehilangan anaknya. Kartika mempunyai dua orang anak iaitu Mohd. Azfar dan Wann Kaitlynn Kartika, 6.

Mengimbas kejadian tersebut, Kartika memberitahu, kehilangan Mohd. Afzar yang menghidap cerebral palsy itu disedari ibunya, Wan Badariah Meor Abdul Salim, 54, ketika mahu memanggil cucu lelakinya itu makan tengah hari.

Menurut Kartika, setelah usaha mencari anak sulungnya di seluruh kawasan resort terbabit gagal, dia telah menghubungi bapanya, Shukarnor yang ketika itu sedang menghadiri kenduri kahwin di Kampng Geliong, Beluru, Kuala Kangsar.

“Sebelum hilang, Mohd. Azfar cuma berseluar panjang berwarna biru tua tanpa baju. Kami risau dia bermain di tebing Sungai Perak yang terletak bersebelahan resort walaupun sebelum ini tidak pernah sekali pun ke sana.

“Tak lama kemudian anggota polis sampai ke resort dan menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat. Mereka dengan bantuan orang kampung cuba menjejak anak saya ke perosok kampung termasuk kebun getah, hutan dan sungai,” katanya.

Sementara itu, Shukarnor pula berkata, pada mulanya dia tidak berfikir sesuatu yang buruk kerana sejak akhir-akhir ini cucu lelakinya memang suka bermain sorok-sorok.

Dia memberitahu, Mohd. Azfar yang biasanya menyorok di lokasi terlindung di resort tersebut seperti dalam almari dan bawah meja makan biasanya akan keluar dari tempat persembunyian selepas dicari ahli keluarganya.

“Selepas Mohd. Azfar gagal ditemui, hati kata terdetik dia mungkin tidak terjatuh sungai.

"Bagaimanapun anjing pengesan milik polis yang cuba menjejak Mohd. Azfar mengesyaki cucu saya memasuki kawasan hutan berhampiran namun cuma mampu mengekori berdasarkan bau badan sehingga 15 meter di dalam hutan terbabit,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, seramai 113 anggota pelbagai agensi telah melakukan operasi mencari dan menyelamat sejak 2 petang kelmarin.

“Operasi meliputi enam kilometer kawasan darat dan sungai. Sebanyak 14 bot digunakan sementara skuad penyelam menyelam di sekitar 100 meter dari tebing Resort Lang Buana.

“Setakat ini kita tak dapat apa-apa petunjuk termasuk lokasi mangsa dipercayai terjatuh. Operasi diteruskan sehingga tengah malam,” katanya.

No comments:

Post a Comment