Translate

Monday, May 23, 2011

7 mangsa dikebumi satu liang lahad

HULU LANGAT - Suasana sedih dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14 di sini semalam apabila tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa selamat disemadikan dalam satu liang lahad.

Tujuh jenazah daripada 16 mangsa yang terkorban itu ialah Dzahir Haziq Mohd. Muin, 18, Mohd. Azret Azahari, 8, Wan Ahmad Hashim Hazim, 11, Mohd. Mustakim Mamat, 12, Mohd. Zaim Azahari, 14, Mohd. Imal Fahad, 9, dan Mohd. Hazim Sapri, 10.

Turut disemadikan dalam liang lahad sama ialah sebelah kaki milik Zulkhairi Aminuddin, 13, mangsa yang terselamat dalam tragedi itu. Upacara pengebumian itu selesai pada pukul 3.20 petang.

Terdahulu, kesemua jenazah itu disembahyangkan selepas solat Zuhur di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, pekan Batu 14. Lebih 500 hadirin terdiri daripada ahli keluarga, waris, dan penduduk setempat mulai memenuhi masjid tersebut sejak pukul 10 pagi bagi menunaikan solat jenazah untuk mangsa-mangsa malang itu.

Zaiton Abdullah, 30-an, ibu saudara salah seorang mangsa, Dzahir Haziq ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilannya tidak dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Zaiton berkata, dia yang menetap di Terengganu terus bergegas ke ibu kota setelah menerima panggilan pada malam kejadian mengenai tragedi menimpa Dzahir Haziq.

"Saya terkilan kerana tidak dapat menatap wajah Dzahir Haziq buat kali terakhir kerana baru sampai ke sini," kata Zaiton yang memberitahu dia menganggap arwah seperti anak kandungnya.

Roslan Osman, 69, yang bertugas secara sukarela di rumah anak yatim itu berkata, rumah tersebut mempunyai 42 orang penghuni yang terdiri daripada empat golongan iaitu anak yatim, yatim piatu, anak-anak fasuki dan anak-anak hidayah.

"Anak-anak fasuki melibatkan pelajar yang dihantar untuk belajar agama pada hujung minggu.

"Anak-anak hidayah, mereka yang ada masalah keluarga seperti ibu bapa bercerai atau anak yang tidak diterima oleh ibu bapa tiri," jelas Roslan.

Pengetuanya, Idris Musa, ketika ditemui memberitahu semasa kejadian terdapat 58 orang di kediaman itu termasuk petugas.

Berikutan tragedi tersebut, Idris berkata, lebih 20 mangsa yang selamat akan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Dalam kejadian tanah runtuh pada pukul 2.30 petang kelmarin, seramai 25 orang yang melibatkan penghuni dan kakitangan rumah anak yatim tersebut tertimbus dalam runtuhan tanah.

Bagaimanapun, sembilan daripada 25 mangsa berjaya diselamatkan.

Semua mangsa yang terkorban dihantar ke Hospital Kuala Lumpur sebelum jenazah itu dituntut waris masing-masing.

Sembilan lagi jenazah mangsa lain dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, dua di Dengkil dan masing-masing satu di Batu Caves dekat Kuala Lumpu, Perak, Pahang dan Kelantan.

Sementara itu, di Ipoh, jenazah Zahid Assawal Zamri, 19, remaja orang kelainan upaya (OKU) dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Puteh di sini semalam.

Menurut bapa arwah Zahid, Zamri Mohd. Kasim, 48, pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras itu ditemui berlumuran tanah dan lebam di muka selepas hampir sembilan jam tertimbus dalam runtuhan.

Zamri yang tinggal di Selayang berkata, sejak tiga tahun lalu, anak sulung daripada enam beradik itu berulang-alik untuk mempelajari ilmu agama di madrasah itu pada hujung minggu.

Di Dengkil pula, Mohd. Awie Abdul Latiff, 12, yang terselamat dalam kejadiaj tanah runtuh terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan adik bongsunya, Mohd .Riezman, 9, yang dikebumikan di Dengkel.

Dalam tragedi it, Mohd. Awie turut kehilangan sepupunya, Mohd. Kamarul Amizul Johari, 11.

No comments:

Post a Comment