Translate

Monday, May 2, 2011

Kaji kadar ITP, Cola


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan terus berjuang mendapatkan kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan elaun kos sara hidup (Cola) bagi membela nasib 900,000 kakitangan kumpulan sokongan satu dan dua.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, kadar ITP yang dibayar RM180 kepada kumpulan tersebut sudah tidak relevan dan perlu dikaji semula oleh kerajaan.

“Kadar ITP itu masih sama sejak lapan tahun lalu, sekarang mana nak cari rumah sewa dengan kadar RM180 sebulan.

“Masalah ini sering menimbulkan dilema di kalangan penjawat awam terutamanya jika diarahkan berpindah ke kawasan lain berikutan kenaikan pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja anjuran Cuepacs di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Turut hadir adalah Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Sehubungan itu, Omar merayu kerajaan dapat menimbangkan kenaikan imbuhan itu kepada RM350 atau pada kadar lain yang difikirkan munasabah.

Dalam pada itu, beliau juga memohon agar elaun Cola yang kini berbeza antara RM100 hingga RM300 mengikut kawasan bertugas turut diselaraskan.

"Ia selaras dengan kos sara hidup masa kini. Saya beri contoh harga barang keperluan di Tapah dan Ipoh pada masa sekarang tidak jauh berbeza biarpun satu pekan, satu lagi bandar raya," katanya.

Cuepacs telah menyuarakan permintaan menaikkan ITP dan penyelarasan elaun Cola kepada kerajaan sejak April 2008.

Begitupun, beberapa tuntutan lain Cuepacs sebelum ini telah dipenuhi kerajaan seperti kenaikan gaji, lanjutan umur bersara wajib kepada 58 tahun dan pengubahsuaian sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

No comments:

Post a Comment