Translate

Thursday, May 19, 2011

Pegawai TLDM didakwa kemuka invois palsu

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua tuduhan mengemukakan tuntutan palsu melibatkan transaksi bernilai RM235,607.63 bagi pembelian rangsum segar lima tahun lalu.

Lt. Komander Ahmad Shukry Othman, 39, dituduh melakukan perbuatan tersebut ketika bertugas sebagai Pegawai Perbekalan Kapal Diraja (KD) Mahawangsa sekitar Jun dan Ogos 2006.

Berdasarkan fakta kes, dia dituduh mengemukakan dokumen palsu berupa invois Landmark Trading Pte. Ltd. bertarikh 3 Jun 2006 bernilai AS$46,813 (RM173,208.10) untuk tuntutan pembelian rangsum segar.

Bagi pertuduhan kedua pula, Ahmad Shukry dituduh mengemukakan satu lagi invois Landmark Trading Pte. Ltd. palsu pada 26 Ogos tahun sama.

Dokumen terbabit yang berjumlah AS$16,864.74 (RM62,399.53) itu turut dikemukakan untuk tuntutan pembelian rangsum segar untuk anak kapal KD Mahawangsa.

Tertuduh yang sudah berkhidmat selama 15 tahun dalam TLDM membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan di atas kedua-dua tuduhan tersebut.

Dia dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan suratan pemalsuan sebagai tulen dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Ahmad Shukry boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam bela, Norhasham Hasan sementara pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd. Sharullah Khan Nawab Zadah Khan.

Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

No comments:

Post a Comment