Translate

Saturday, May 21, 2011

Kejuaraan seni silat tarik penyertaan luar negara

IPOH - Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar dekat sini pada 11 Jun ini turut menarik penyertaan peserta antarabangsa.

Pengarah kejuaraan, Jak Othman (gambar kecil) berkata, pasukan antarabangsa tersebut diwakili lapan peserta dari tujuh negara yang amat meminati seni silat.

"Mereka masing-masing seorang dari Britain, Australia, Jepun, Pakistan, Arab Saudi, Syria dan dua dari Kuwait.

"Saya difahamkan mereka memegang tali pinggang hitam dan menuntut ilmu persilatan daripada pelbagai pertubuhan seni silat sekitar Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Jak berkata, peserta asing tersebut dijangka tiba pada 9 Jun depan untuk menjalani latihan singkat sebelum meneruskan cabaran.

Menurut beliau, walaupun pasukan asing itu bukan pilihan untuk muncul juara, kehadiran mereka dijangka mampu memberi saingan sengit kepada pasukan tempatan yang mengambil bahagian.

"Saya percaya penyertaan pasukan luar negara ini akan memberi nilai tambah kepada pertandingan seni silat yang julung-julung kali diadakan ini," katanya.

Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru akan disertai 19 pertubuhan silat terkenal tempatan seperti Pertubuhan Silat Serimau Hitam, Gayung Pattani, Silat Cekak Malaysia, Anggerik Jingga dan Silat Lincah.

No comments:

Post a Comment