Translate

Sunday, May 8, 2011

Masjid bak sangkar burung


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BEGITU istimewa dan nostalgik. Itulah yang terpacul daripada bibir penduduk Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar setiap kali memperkatakan Masjid Ihsaniah Iskandariah.

Frasa tersebut berkait dengan pelbagai faktor. Antaranya keunikan seni bina, sejarah, kenangan dan hubungan istimewa masjid itu dengan Istana Perak.

Abd. Moin Lamat, 67, yang dilahirkan selepas lapan tahun masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Lama Kuala Dal itu siap dibina memberikan perinciannya.

“Jika mahu lihat seni bina Melayu Perak, lihatlah masjid ini. Apatah lagi ia satu-satunya masjid di dunia yang mempunyai dinding tepas iaitu diperbuat daripada anyaman buluh.

“Ia bertambah unik kerana bangunannya berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah seperti masjid lain,” ujarnya kepada Jurnal.

Ketua Kampung Dal itu menambah, reka bentuk masjid dua tingkat itu juga menyerupai sangkar burung sementara tingkapnya dihiasi ukiran.

Bumbungnya kelihatan rata manakala dinding tepas masjid itu diperbuat daripada buluh minyak dengan motif geometri Arab.

Selain itu, masjid berkenaan mempunyai 20 tingkap berdaun yang bermotifkan pucuk kacang, bulan sabit dan bintang manakala bumbung zinknya berbentuk limas.

“Semua struktur bangunan termasuk kelarai dibina dan diukir oleh tukang kayu tempatan terkenal seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah,” jelasnya.

Dahan durian

Banyak kenangan dan sejarah disimpan Masjid Lama Kuala Dal yang kini meniti usia 75 tahun.

Dipendekkan cerita, ia merangkumi tiga fasa iaitu dari tahun 1930-an sehingga 1976, zaman kesuraman dari lewat 1970-an hingga 2009 dan kini zaman kebangkitan semula.

Abd. Moin memberitahu, pada zaman kegemilangannya, masjid itu pernah menjadi nadi kerukunan dan simbol agama penduduk Kampung Kuala Dal.

Tingkat atas masjid itu menempatkan dewan solat yang boleh memuatkan 200 orang jemaah pada satu-satu masa. Tingkat bawah pula dijadikan dewan untuk perjumpaan dan melakukan aktiviti kemasyarakatan serta persidangan pembesar negeri Perak.

“Namun, kegemilangan Masjid Lama Kuala Dal pudar apabila sebahagian strukturnya rosak teruk akibat dihempap dahan durian sekitar tahun 1976.

“Kejadian itu menyebabkan masjid itu ditinggalkan dan diganti dengan sebuah masjid baru yang lebih besar yang dibina bersebelahannya,” kata Abd. Moin.

Masjid baru itu didirikan di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Pengerusi Masjid Lama Kuala Dal pada masa itu, Abdul Wahid Abdul Daud.

Bagaimanapun, setelah lebih tiga dekad terbiar uzur dan hampir menyembah bumi, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja konservasi untuk membaiki kerosakan struktur bangunan tersebut.

Masjid itu kemudian digazet sebagai bangunan warisan negara. Kerja-kerja konservasi siap sepenuhnya pada Julai 2009 sebelum diserahkan semula kepada Kariah Masjid Al-Wahidiah oleh Pesuruhjaya Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid dalam satu majlis khas pada 17 Disember tahun yang sama.

Kemuncak kebangkitan semula masjid itu ialah Jumaat lalu apabila ia dirasmikan kembali oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Warisan

“Perasmian semula Masjid Lama Kuala Dal oleh Tuanku begitu signifikan.

“Masjid itu sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan kerabat diraja Perak,” ujarnya.

Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah bukan sahaja menitahkan pembinaan masjid tersebut malah turut memberi ilham kepada reka bentuknya.

Bagindalah juga yang membiayai kos menyiapkan masjid itu sebanyak 8,000 pound sterling. Binaan masjid itu diinspirasikan daripada seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Sultan Iskandar juga merasmikan masjid yang mengabadikan nama baginda pada 11 Februari 1938, kira-kira lapan bulan sebelum kemangkatan baginda.

Mengikut sejarahnya, Sultan Iskandar telah bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada gering.

Kampung Kuala Dal dipilih selepas baginda melihat penduduk kampung berkenaan bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang daripada berkelah di Lata Bubu yang terletak tidak jauh dari situ.

Masjid itu dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan, Juragan Abdul Shukur Mohammmad Ali.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Wahidiah, Mohamad Anuar Abu Bakar, 61, berkata, sejak diserahkan oleh Jabatan Warisan Negara dua tahun lalu, pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan telah dijalankan di Masjid Lama Kuala Dal.

Antaranya, bacaan tahlil dan Yasin, pertandingan nasyid, ceramah agama dan mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan.

“Di samping itu, ahli jawatankuasa masjid dengan kerjasama naib kadi daerah bercadang untuk memperkenalkan pakej pernikahan di situ dalam masa terdekat.

“Idea itu timbul berikutan permintaan daripada ramai bakal pengantin terutamanya dari kariah ini untuk mengabadikan masa bahagia mereka di persekitaran masjid yang unik itu,” jelas beliau.

Mohamad Anuar menjelaskan, pakej tersebut turut meliputi penyediaan makanan untuk maksimum 100 tetamu.

Tambahnya, kesedaran orang ramai termasuk pelancong asing tentang kewujudan masjid warisan itu semakin bertambah selepas lawatan mengejut Sultan Azlan Shah ke masjid itu pada 1 Mac tahun lalu.

Sejak itu, semakin ramai pelancong yang singgah ke situ untuk mengambil gambar kenangan.


2 comments:

  1. Jijah,

    kalau berkesempatan ke Padang Rengas, singgah ke masjid ini sambil beriktikaf di Masjid Al-Wahidiah disebelahnya

    ReplyDelete