Translate

Thursday, May 5, 2011

Serimau hitam siap sedia hadapi kejohanan

KAMPAR - Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak ( Serimau Hitam ) sudah bersiap sedia untuk turun di gelanggang bagi menghadapi Kejohanan Seni Silat Warisan Malaysia yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar, Tronoh pada 11 Jun ini.

Pengerusinya, Mohd. Ruzaimi Juani, 39, berkata, enam daripada 5,000 penuntut silat terbabit di seluruh negara telah dipilih untuk mewakili persatuan pada kejohanan berkenaan.

Katanya, persatuan itu mempertaruhkan Muhammad Munzir Amir Rosli, 34, Asmawi Harun, 35, Muhammad Yazid Hamdan, 18, Zulhusni Sayuti, 18, Mohd. Muinuddin Md. Radzi, 18, dan seorang serikandi, Nor Syariha Nor Azaha, 18, untuk membawa cabaran Serimau Hitam .

"Mereka mempunyai kepakaran masing-masing dalam aspek bunga silat, tempur tanpa senjata dan tempur dengan bersenjata," katanya kepada Kosmo! di Kampung Telok Bakong, Malim Nawar dekat sini semalam.

Terdahulu beliau memantau rakaman dokumentari mengenai seni silat Serimau Hitam yang diarahkan oleh pengarah kejohanan tersebut, Jak Othman bersempena Kejohanan Seni Silat Warisan Malaysia tersebut.

Mohd. Ruzaimi berkata, keenam-enam pesilat handalan Serimau Hitam itu sedang giat berlatih setiap hari sebagai persiapan menghadapi kejohanan yang bakal berlangsung hampir sebulan lagi.

Menurut beliau, selain menyasarkan untuk muncul juara, penampilan dalam kejohanan seni silat yang julung-julung kali diadakan itu diharap dapat mengembangkan lagi pengaruh Serimau Hitam sehingga ke peringkat antarabangsa.

Mohd. Ruzaimi memberitahu seni silat Serimau Hitam diasaskan oleh Allahyarham Baharum Hathir pada 1971 dengan mengabungkan lima cabang persilatan iaitu Silat Gayung, Silat Jawa, Silat Cekak, Silat Sambarani dan Silat Wali Suci.

Serimau Hitam adalah salah satu daripada 20 pasukan silat termasuk dari luar negara yang menyertai Kejohanan Seni Silat Warisan Malaysia yang berkonsepkan program realiti.

Akhbar Kosmo! merupakan media rasmi pertandingan anjuran Homeland Frontier Sdn. Bhd. dengan kerjasama K Perak Implementation and Coordination Corporation (K Perak).

No comments:

Post a Comment