Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my
SUNGAI SIPUT - Harapan bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarnor untuk menemui semula anaknya, Mohd. Azfar Mohamad Afandi yang hilang pada tengah hari Sabtu lalu berakhir dengan berita duka apabila mayatnya ditemui terapung di Sungai Perak awal pagi semalam.
Mayat Mohd. Azfar, 9, ditemui dalam keadaan terapung di tebing Sungai Perak kira-kira-kira satu kilometer dari tempat ia dipercayai terjatuh di Resort Lang Buana milik datuknya, Shukarnor Abdul Mutalib, 62, di Kampung Jawang, Karai dekat sini.
Menurut Kartika, 34, mayat Mohd. Azfar yang merupakan golongan kelainan upaya (OKU) kerana menghidap sindrom cerebral palsy, ditemui abang sulungnya, Mohamad Hatta, 37.
"Menggigil badan saya terdengar panggilan telefon abang menerusi telefon bimbit ayah yang memberitahu mayat anak sulung saya sudah ditemui.
"Menurut abang saya, mayat Mohd. Azfar ditemui dengan bahagian atas tubuhnya hingga ke paras dada terapung di permukaan sungai sementara bahagian bawahnya terbenam akibat tersangkut pada tunggul kayu," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sungai Siput di sini semalam.
Turut menemani Kartika di perkarangan rumah mayat hospital terbabit ialah sebahagian besar ahli keluarganya termasuk bapanya, Shukarnor dan bekas suami, Mohamad Afandi Amir, 39.
Menurut Kartika, dia telah memohon jenazah anak lelakinya itu ditempatkan sebentar di resort bapanya sebelum dihantar ke Rumah Mayat Hospital Sungai Siput.
"Saya nak tatap wajah Mohd. Azfar buat kali terakhir sebelum melepaskannya. Saya masih terkenang mandi bersama arwah pada pagi sebelum dia hilang, baunya ketika itu wangi betul," ceritanya.
Sementara itu, Mohamad Afandi berkata, biarpun reda dengan pemergian Mohd. Azfar namun, dia masih terkilan tidak dapat bersama pada hari-hari terakhir hayat anak sulungnya itu.
"Saya masih ingat semasa dia dilahirkan dulu di Hospital Taiping sembilan tahun lepas, saya terlewat sampai kerana sedang bertugas di Singapura.
"Sekarang pada hari terakhirnya pula, saya tidak dapat berada di sisinya, cuma dapat bersua dengan sekujur mayatnya sahaja. Kali terakhir saya berjumpa dengan Mohd. Azfar sebulan lalu ketika Kartika membawanya menziarahi keluarga saya di Singapura," katanya sambil menitiskan air mata.
Sementara iu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim mengesahkan kematian Mohd. Azfar adalah akibat lemas.
Beliau memberitahu, anggota bomba dan penyelamat mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat Mohd. Azfar yang tersangkut pada tunggul kayu di dasar Sungai Perak sebaik sahaja dimaklumkan penemuan oleh Mohamad Hatta.
al-fatihah
ReplyDelete......
Drunbella,
ReplyDeleteamin...