KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad, anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM15.3 juta pada suku kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najman Kamaruddin berkata, prestasi itu merupakan peningkatan memberangsangkan berbanding kerugian sebelum cukai RM1 juta yang dicatat pada tempoh sama tahun lalu, dipacu peningkatan hasil sebanyak 18 peratus.
Jelasnya, hasil menerusi segmen perladangan kelapa sawit dan penjagaan kesihatan menokok kepada RM205.3 juta pada suku kedua berbanding RM174 juta setahun lalu.
“Sektor perladangan mendapat manfaat daripada peningkatan pengeluaran hasil, jumlah jualan lebih tinggi serta pelaksanaan operasi berdisiplin, manakala sektor penjagaan kesihatan terus mencatat pertumbuhan positif dalam kemasukan pesakit.
“Ia membuktikan keduadua segmen perniagaan teras TDM mempunyai daya tahan dan keutamaan operasi yang telah ditetapkan Kumpulan sudah menunjukkan keberkesanannya,” katanya.
Najman menjelaskan, TDM terus mengorak langkah dalam pelan peluasan strategiknya termasuk pembinaan Pusat Perubatan KMI Bertam, Pulau Pinang yang sedang berjalan mengikut jadual, manakala Pusat Perubatan KMI Chukai, Kemaman akan memulakan fasa pembinaan pada masa terdekat.
“TDM juga sedang meneroka cadangan pembangunan sebuah hospital di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu selain bercadang menjalin kerjasama dengan Pusat Pakar Swasta Universiti Teknologi Mara Sungai Buloh, Selangor,” katanya.
No comments:
Post a Comment