IPOH - Tembelang satu sindiket yang menjalankan kegiatan perjudian berkomputer terancang di 100 buah premis di sekitar bandar ini terbongkar selepas polis menyerbu dua buah pusat judi haram di Taman Bercham Indah di sini semalam.
Serbuan pada pukul 4 petang oleh sepasukan polis dari Cawangan Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Bukit Aman itu dapat menahan seorang penyelia premis berusia 26 tahun.
Pegawai Operasinya, Supritendan Maszely Minhad berkata, hasil soal siasat, polis kemudian mendapat senarai keseluruhan premis judi sindiket tersebut. Senarai itu telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan susulan.
"Selain merampas sebanyak 65 buah mesin judi daripada dua premis itu, kita juga menahan tiga pekerja, enam pelanggan termasuk seorang wanita dan seorang penyelianya berusia antara 30 dan 46 tahun.
"Kita turut merampas wang pertaruhan sebanyak RM1,321," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, kedua-dua premis tersebut menawarkan lebih 50 jenis perjudian.
Menurut Maszely, premis terbabit juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4b (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
No comments:
Post a Comment