azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Mangsa nahas bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Isnin lalu kini bertambah kepada 28 orang apabila seorang lagi mangsa, Darunee Songserm (gambar kecil) meninggal dunia semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Azisman Alias berkata, Darunee, 59, atau Dariah Ismail menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.26 petang setelah seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
"Dia mengalami kecederaan parah di kepala dan dada telah diletakkan dalam pemerhatian di ICU hospital tersebut sejak Isnin lalu," katanya kepada Kosmo! semalam.
Azisman berkata, dua lagi mangsa nahas warga Thailand iaitu Somchai Polanan, 63, dan Achara Wiwati, 36, masih dirawat di ICU hospital tersebut dan keadaan mereka juga agak kritikal.
Kosmo! Rabu lalu melaporkan pada mulanya, Darunee dan anak saudaranya, Areena Songserm , 20, disenaraikan antara 27 mangsa yang terkorban dalam nahas terburuk negara itu setelah identiti mereka tertukar dengan dua mangsa lain.
Namun kesilapan itu diperbetulkan adik dan anak sulung Darunee , Aida Mohamad, 36, dan Faizal Ismail, 40, yang hadir ke HRPB untuk menuntut jenazah kedua-dua mangsa mengesahkan waris mereka masih hidup dan mengalami kecederaan parah.
Mayat 25 mangsa warga Thailand dalam nahas tersebut telah dihantar pulang ke negara mereka dengan menggunakan dua pesawat Hercules C-130 hasil inisiatif Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duagratana pada Rabu lalu.
Seorang mangsa cedera, Pramuallrat Phimpahu, 44, turut dibawa pulang ke Bangkok dengan menaiki pesawat yang sama.
Selain Pramuallrat, tiga lagi mangsa warga Thailand yang cedera iaitu Areena; Rungnapa Klungsuwan, 53, dan Suchanchira Chaiaueai, 40, dibawa pulang dengan menaiki dua buah ambulans menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan disambut oleh pegawai perubatan Hospital Hat Yai, Thailand.
No comments:
Post a Comment