Translate

Monday, November 15, 2010

Guru melecur gel pemanas makanan meletup

IPOH - Seorang guru melecur teruk di kepala apabila disambar api kesan letupan bahan api berbentuk gel yang dinyalakan di bawah sebuah bekas dulang berisi lauk-pauk pada Jumaat lalu.

Berikutan kejadian pada majlis makan malam tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, Batu Gajah dekat sini pada kira-kira 8.30 malam itu, Ainon Mardhiah Elias, 39, melecur di bahagian dahi, rambutnya sedikit terbakar dan mata serta pipinya bengkak.

Ainon Mardhiah yang juga warden sekolah terbabit memberitahu, semasa kejadian, dia dan seorang guru, Nur Haliza Zainal Abidin sedang memanaskan hidangan untuk majlis yang diadakan di dewan sekolah tersebut.

Majlis makan malam itu dihadiri kira-kira 250 orang merangkumi pelajar, guru dan ahli keluarga masing-masing.

Cerita Ainon Mardhiah, pada mulanya Nur Haliza memasukkan bahan api berupa gel yang diletakkan di dalam bekas khas di bawah sebuah dulang manakala dia menyalakan api dengan mancis.

"Tiba-tiba berlaku letupan kuat hingga botol berisi bahan api gel itu terpelanting hampir lima meter ke atas pentas dewan.

"Api pula menjadi marak hingga menyambar tudung dan sebahagian kepala, saya panik dan secara spontan segera menanggalkan tudung," katanya ketika ditemui di Hospital Pantai Putri (HPP) di sini semalam.

Api berwarna biru itu hanya terpadam setelah salah seorang guru menjirus kepala Ainon Mardhiah dengan sebaldi air berisi ais.

Guru itu kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Batu Gajah dekat sini dan selepas itu dipindahkan ke HPP.

Percikan api daripada letupan terbabit turut membakar sebahagian baju kurung dipakai Nurul Haliza dan bahagian bahu baju seorang guru lain, Hendon Sufian yang berdiri berhampiran.

Ainon Mardhiah mendakwa sehari sebelum kejadian dia disyorkan membeli bahan api gel itu oleh seorang pengusaha kedai peralatan dapur di Batu Gajah.

"Semasa beli 10 set bekas dulang untuk majlis makan malam tersebut, peniaga tersebut kenalkan saya bahan api gel .

"Dia kata bahan itu merupakan yang terbaru untuk memanaskan hidangan dalam bekas dulang berbanding penggunaan lilin sebelum ini," katanya.

1 comment:

  1. Kehidupan sebagai seorang guru dan warden adalah untuk anak2 muridnya. Adakah mrk sedar pengorbanan guru mrk?

    ReplyDelete