BAHAN asas Putu Perak ialah tepung beras, tepung pulut dan kelapa. Gula dan garam pula ditambah sebagai bahan perasa.
Biarpun nampak ringkas, Fauzila Harun, 35, atau Zie mengakui pembuatan kuih warisan itu agak remeh. Penyediaan bahan asasnya sahaja memakan masa sekurang-kurang dua hari.
"Mula-mula beras akan direndam sekurang-kurangnya semalaman sebelum ditos. Selepas itu beras tadi akan dikisar secara kasar.
"Selepas itu ia akan dikukus secara 40 minit sebelum dikisar sekali lagi sehingga menjadi tepung dan dibiarkan sejuk selama sekurang-kurang 12 jam," terang Zie.
Setelah benar-benar sejuk, tepung beras buatan sendiri itu akan digaul dengan tepung pulut sebelum dikisar sekali lagi sehingga sebati.
Sesudah sebati, kedua-dua tepung itu sehingga menjadi satu adunan. Gula pasir akan dicampur di dalam adunan itu untuk menjadikannya manis.
Zie memberitahu adunan tersebut sedia dikukus dengan acuan khas berbentuk seperti cawan yangdiperbuat daripada besi.
"Dahulu mak dan opah (nenek) saya menggunakan tempurung kepala digunakan sebagai acuan. Kemudian, acuan itu diperbarui dengan menggunakan tin yang diubahsuai.
"Kini saya melakukan inovasi dengan menempah acuan khas diperbuat daripada besi," katanya.
Berbeza dengan Putu Piring yang berintikan gula merah, Putu Perak pula berintikan kelapa yang digaul dengan garam. Ia menjadikan rasa Putu Perak lemak-lemak manis.
Begitupun, ada juga pelanggannya di gerai jualan Makanan Popular Perak, Bazar Agro di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan yang memesan Putu Perak berintikan gula merah.
"Walaupun bagi saya permintaan itu agak lucu kerana tepung adunan Putu Perak itu sendiri sudah manis dan penggunaan gula merah sebagai inti menjadikannya terlalu manis, permintaan segelintir pelanggan itu diturutkan juga," jelasnya.
Putu Perak boleh tahan selama tiga hari selepas dikukus dan jika disejuk beku pula ia boleh dimakan sehingga enam bulan. Bagi enam biji Putu Perak, Zie menjualnya dengan harga RM3.
No comments:
Post a Comment