IPOH - Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud mempertahankan tindakan menahan semula suspek kes curi dua buah enjin pesawat F5, Sarjan N. Tharmendran di kawasan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Khamis lalu.
Beliau berkata, Tharmendran masih seorang anggota Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan akan didakwa ke Mahkamah Ketenteraan kerana meninggalkan tugas tanpa cuti.
“Perkara tersebut (penahanan) merupakan tindakan biasa kepada mana-mana anggota TUDM yang melanggar disiplin seperti meninggalkan tugas.
“Sarjan N.Tharmendran masih lagi seorang anggota (TUDM) dan disebabkan dia tidak melapor tugas, maka kita ‘ambil’ dia kerana notis sudah diberikan tetapi masih tidak datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Sri 43/10 melibatkan 328 perajurit lelaki dan 62 wanita di Institut Tentera Udara (ITU) Ipoh di sini semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan suasana di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam tegang apabila dua buah kenderaan TLDM menahan Tharmendran setelah menghalang kereta yang dinaiki tertuduh dan bapanya, N. Nagarajah.
Sebelum kejadian, dia menghadiri pendengaran permohonannya untuk mengugurkan pertuduhan mengantung atau membatalkan pertuduhan bersuhabat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop mencuri dua buah enjin pesawat F5 yang dikenakan ke atasnya.
Tharmendran melalui peguamnya, N. Surendren telah memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan dari Pusat Tahanan, Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur.
Menurut afidavit yang difailkan kelmarin, dia yang ber tugas di Pangkalan Udara Subang mendakwa tahanan yang dibuat adalah tidak sah dan di luar bidang kuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tharmendran mendakwa bukan lagi seorang tentera TUDM kerana dia telah tamat perkhidmatan dengan pang kat Sarjan pada 28 Mei lalu ketika berada dalam reman sementara menunggu perbicaraan bagi kes membabitkan kecurian enjin jet pejuang itu.
No comments:
Post a Comment