KAMPAR - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang sedang menjalani latihan penerbangan maut apabila helikopter jenis R-44 yang dipandunya secara solo terhempas lalu terbakar di sebuah bekas lombong berhampiran Estet Liang Kee, Malim Nawar dekat sini semalam.
Kejadian pukul 2.15 petang itu mengakibatkan Mohd. Sukri Osman, 31, mati dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian tubuhnya dari paras pinggang ke atas hangus.
Seorang pemandu lori pasir, P. Chandrasegaran, 51, berkata, dia melihat helikopter itu terbang rendah lalu terhempas .
"Ia kemudian terpelanting sejauh 10 meter sebelum meletup dan terbakar," ceritanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi saksi, Wilfred Robert, 20, berkata, helikopter terbabit meletup dan terbakar sejurus terhempas menyebabkan mangsa gagal menyelamatkan diri.
"Saya dan beberapa rakan cuba menghampiri rangka helikopter beberapa minit selepas terbakar tetapi gagal selamatkan mangsa," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, Mohd. Sukri merupakan salah seorang daripada lapan anggota PDRM yang sedang mengikuti kursus latihan penerbangan di Integrated Training & Services Sdn. Bhd. selama enam bulan sejak September lalu.
Beliau berkata, semasa kejadian mangsa sedang melakukan latihan pendaratan tempur dari pusat latihan penerbangan yang berpangkalan di Ipoh.
"Mohd. Sukri telah melakukan 35 jam penerbangan dan nahas terbabit merupakan penerbangan solo kelima mangsa. Helikopter itu dikatakan mengalami masalah mekanikal," katanya.
Mohd. Sukri dari Permatang Tok Gelam, Kepala Batas, Pulau Pinang meninggalkan seorang balu dan seorang anak.
No comments:
Post a Comment