Translate

Wednesday, December 22, 2010

San Express Holiday diberi surat tunjuk sebab

IPOH - Kementerian Pelancongan menghantar surat tunjuk sebab kepada pengurusan syarikat bas San Express Holiday berikutan kemalangan maut meragut 27 nyawa yang melibatkan bas persiaran milik syarikat itu di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini kelmarin.

Setiausaha Bahagian Pelesenan Kementerian Pelancongan, Katradhu Illah Fatiny Afandi berkata, pengurusan bas ekspres itu diberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan mengenai nahas tersebut.

"Kertas siasatan sudah dibuka dan dijangka siap dalam tempoh tiga minggu. Sekiranya terbukti ada kecuaian, tindakan tegas akan diambil," katanya selepas melawat mangsa nahas tersebut yang terselamat di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof memberitahu, polis sedang menyiasat dakwaan, San Express Holiday menyewa permit bas persiaran sebuah syarikat lain yang beralamat di Jitra, Kedah.

"Polis juga akan menyemak rekod kesalahan trafik Omar Shahidan (pemandu bas). Buat masa ini, tumpuan polis lebih kepada memastikan urusan pengecaman dan penghantaran pulang mangsa yang maut," katanya.

Tinjauan Kosmo! mendapati, bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Kelihatan sepasukan pegawai penyiasat dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom) melakukan pemeriksaan ke atas rangka bas itu.

Ketua Penganalisis Nahas, Unit Pembinaan Semula Nahas Miros, Iskandar Abdul Hamid berkata, pihaknya telah diberi tanggungjawab oleh Kementerian Pengangkutan untuk menyediakan laporan penuh punca kemalangan maut berkenaan.

Beliau berkata, selain menyiasat rangka bas, pasukannya juga meninjau lokasi kemalangan terbabit bagi menyediakan laporan menyeluruh tersebut.

Akhbar semalam melaporkan, 27 orang maut membabitkan 25 pelancong Thailand, pemandu bas, Omar dan pemandu pelancong, Soontorn a/l Kian, 38, setelah bas ekspres milik San Express Holiday itu terbabas dan terbalik dalam nahas ngeri yang berlaku pada pukul 11.40 pagi.

Bas bernombor pendaftaran AFX 2266 yang didakwa didaftarkan atas permit sebuah syarikat di Jitra, Kedah itu dikatakan hilang kawalan semasa menuruni laluan berbukit sebelum merempuh pembahagi jalan berdekatan Kampung Juang, Simpang Pulai di sini.

No comments:

Post a Comment