Translate

Tuesday, December 7, 2010

Edar ganja: 3 terlepas tali gantung

IPOH - Tiga jurukimpal terlepas daripada tali gantung selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi disini semalam daripada tuduhan mengedar ganja seberat 13.4 kilogram (kg) kira-kira lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Dr. Hassan Ab. Rahman memerintahkan Shahronizam Mat Yusoff, 36, Zamli Zakaria, 39, dan Abdul Shukor Abdul Hamid, 45, dibebas setelah pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan terhadap fakta pendakwaan.

Hassan berkata, walaupun pada awalnya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie tetapi setelah empat saksi pembelaan dipanggil, pihak pendakwaan telah menimbulkan keraguan munasabah.

"Pihak pembelaan secara konsisten meyakinkan mahkamah bahawa barang kes (ganja) yang ditemui dalam serbuan tersebut adalah milik seorang individu bernama Ishak Osman.

"Lompong tersebut bagaimanapun gagal ditangani pihak pendakwaan," jelasnya ketika membaca penghakiman bertulisnya di sini semalam.

Berdasarkan fakta kes, Shahronizam, Zamli dan Abdul Shukor ditahan di tempat letak kereta berhadapan sebuah klinik di Jalan Ria, Parit Buntar dekat sini kira-kira pukul 2 pagi pada 19 Ogos 2005.

Dalam serbuan tersebut, Ishak telah berjaya melepaskan diri daripada kepungan polis namun kemudian ditahan di rumahnya di Pulau Pinang beberapa hari selepas itu.

Pemeriksaan di dalam kereta milik Shahronizam pula menemui sebuah beg yang mengandungi ganja seberat 13.4kg yang dipercayai mahu diedarkan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (c) Akta Dadah Berbahaya dibaca bersama Seksyen 39B (2) yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Biarpun pihak pendakwaan berhujah individu bernama Ishak tidak wujud namun pihak pendakwaan membuktikan sebaliknya dengan memanggil menantu lelaki itu iaitu Zurni Zakaria sebagai salah seorang saksi pembelaan.

Zurni kemudian mengakui Ishak turut bersama tiga tertuduh pada malam kejadian tetapi berjaya melepaskan diri.

Menurut saksi pembelaan itu, bapa mertuanya diberkas polis beberapa hari kemudian dan ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969 dan ditempatkan di Pusat Tahanan Muar, Johor.

Namun Ishak tidak dituduh bersama-sama Shahronizam, Zamli dan Abdul Shukor ketika ketiga-tiga tertuduh terbabit dihadapkan buat kali pertama atas tuduhan tersebut di Mahkamah Tinggi Taiping pada 16 Ogos 2006.

No comments:

Post a Comment