Translate

Thursday, December 9, 2010

Orang ramai serbu balai polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Sejak kadar diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) diumumkan pada 1 Disember lalu, Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini tidak menang tangan melayan pengguna yang ingin menjelaskan saman tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, setiap hari hampir 300 pengguna datang untuk berbuat demikian.

Ekoran itu, katanya, pihaknya berjaya mengutip bayaran saman sebanyak RM1 juta dalam tempoh berkenaan.

“Purata kutipan bayaran saman di Unit Trafik IPD Ipoh adalah RM35,000 sehari.

“Malah ada seorang pesalah saman trafik hadir untuk menjelaskan 50 keping saman sekali gus di sini beberapa hari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perjalanan pembayaran saman trafik oleh orang ramai di Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini semalam.

Azisman berkata, beliau percaya kesesakan unit trafik itu berkaitan dengan pengumuman tawaran kadar diskaun sehingga 50 peratus ke atas saman trafik PDRM baru-baru ini.

Bermula 1 Disember lalu, PDRM menawarkan kompaun munasabah saman trafik dengan kadar insentif sehingga 50 peratus bagi semua saman trafik mengikut beberapa syarat yang ditetapkan.

Saman yang diselesaikan dalam tempoh 15 hari dari tarikh tersebut akan diberikan insentif 50 peratus daripada kadar kompaun terbenar.

Jika saman itu diselesaikan dalam tempoh 16 hingga 30 hari akan diberikan insentif 30 peratus.

Menurut Azisman, orang ramai juga mengambil kesempatan daripada penerimaan bonus dan saguhati pada akhir tahun untuk menjelaskan saman trafik bagi mengelakkan daripada disenarai hitam sebelum 28 Februari tahun depan.

“Kami memantau dan akan mengambil beberapa langkah tertentu untuk mengurangkan kesesakan orang ramai yang berpusu-pusu di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Majid Zakaria, 32, berkata, beliau beratur hampir sejam setengah untuk menjelaskan sebanyak lima saman trafik yang bernilai RM750.

"Saya ambil cuti tahun semata-mata untuk menyelesaikan saman trafik. Harap selepas ini IPD Ipoh dapat menambah kaunter pembayaran bagi mengurangkan kesesakan," katanya.


No comments:

Post a Comment