Translate

Thursday, December 23, 2010

25 mayat dihantar pulang

Oleh MOHD.AZLI ADLAN dan AQMAR ALLADAD
berita@kosmo.com.my

IPOH – Suasana pilu menyelubungi Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semasa waris 25 mangsa warga Thailand yang terbunuh dalam nahas melibatkan sebuah bas persiaran di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands melakukan pengecaman mayat semalam.

Mereka yang diterbangkan dengan dua pesawat Hercules C-130 dari Bangkok, Thailand itu tiba pada pukul 11 pagi di pekarangan hospital dengan diiringi oleh Duta Thailand di Malaysia, Thana Duagratana.

Selepas proses pengecaman mayat selesai, kesemua 25 keranda yang mengandungi mayat mangsa nahas disusun di pekarangan Rumah Mayat HRPB bagi menjalani upacara keagamaan Buddha yang diketuai lima sami Tokong Wat Sri Bunyawana di sini.

Semasa upacara itu berlangsung, beberapa waris kelihatan sebak dan meraung meratapi pemergian insan tersayang.

Aummarine Kamolkunpipat yang merupakan suami kepada mangsa, Piyanon Klingchuay, 48, tidak dapat mengawal kesedihan dan memeluk keranda yang menempatkan mayat isterinya sebelum ditenangkan oleh seorang wakil Kedutaan Thailand.

Ekoran terlalu sedih dan masalah komunikasi, waris mangsa nahas enggan ditemu ramah oleh wakil media tempatan.

Thana ketika ditemui berkata, keranda kesemua 25 mangsa dibawa keluar dari pekarangan hospital pada pukul 12 tengah hari menuju ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang dengan menggunakan sebuah treler.

Menurut beliau, kesemua mayat dan waris mangsa kemudiannya diterbangkan dari Subang dengan menaiki dua pesawat Hercules C-130.

Pesawat tersebut kemudiannya berlepas dari Subang pada pukul 5 petang dan tiba di Terminal Tentera Udara Don Mueang, Bangkok pada pukul 7.30 malam hari yang sama.

"Saya mewakili Kedutaan Thailand mengucapkan penghargaan kepada kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia kerana memberi bantuan dan kerjasama dalam pengurusan mangsa nahas terbabit," katanya.

Jelas Thana, seorang mangsa cedera, Pramuallrat Phimpahu, 44, turut dibawa pulang ke Bangkok dengan menaiki pesawat yang sama.

Selain Pramuallrat, tiga lagi mangsa warga Thailand yang cedera iaitu Areena Songserm, 20; Rungnapa Klungsuwan, 53, dan Suchanchira Chaiaueai, 40, dibawa pulang dengan menaiki dua buah ambulans menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan disambut oleh pegawai perubatan Hospital Hatyai, Thailand.

Setakat ini, seramai enam lagi mangsa cedera warga Thailand termasuk tiga lelaki masih dirawat di HRPB dan keadaan mereka dilaporkan stabil

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Konsulat Jabatan Hal Ehwal Konsulat Thailand, Mathurapojana Ittharong pula memberitahu, seramai 30 ahli keluarga tiba dari Bangkok dengan kebanyakan mereka terdiri daripada keluarga mangsa yang terkorban.

"Bagi keluarga mangsa yang selamat mereka akan tinggal selama beberapa hari lagi di Ipoh bagi menemani ahli keluarga masing-masing yang masih mendapat rawatan di hospital," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie yang turut hadir memberi penghormatan terakhir di Pangkalan TUDM berkata, beliau berharap nahas terburuk itu tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia dan Thailand.

2 comments:

  1. alahai.mesti sedih kehilangan org tersayang

    ReplyDelete
  2. alinac lover,

    siapa tak sedih kehilang orang tersayag...

    ReplyDelete