Translate

Thursday, November 25, 2010

Pemandu lori dijel dua tahun


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pemandu lori dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah cuba merasuah seorang Penolong Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Nurhayati Mat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Sofli Ahmad, 33, dari Pangkalan Baru, Pantai Remis dekat sini didapati memberi rasuah itu bagi melepaskan diri daripada kesalahan menyimpan diesel bersubsidi tanpa permit pada 6 Ogos lalu.

Bapa kepada lima orang anak itu merupakan salah seorang daripada 19 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan KPDNKK di Perak, Pahang, Kedah dan Perlis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Nano baru-baru ini.

Berdasarkan fakta kes, operasi bersepadu yang dilakukan anggota SPRM dan KPDNKK selama tujuh jam berakhir 3 pagi pada 6 Ogos lalu menjumpai sebuah tangki minyak yang dipercayai mengandungi diesel bersubsidi di Kilometer (KM) 55, Jalan Pangkalan Baru-Pantai Remis dekat sini.

Safli yang ketika itu bertugas sebagai penjaga tangki minyak berkenaan telah menghampiri anggota penguat kuasa.

Setelah diberitahu seorang penolong penguatkuasa KPDNKK bahawa ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bekalan 1961, tertuduh kemudiannya menawarkan wang suapan RM2,000.

Walaupun anggota penguat kuasa terbabit enggan menerima suapan itu, Sofli tetap menyerahkan wang tersebut.

Bagaimanapun gelagatnya telah dilihat oleh seorang pegawai SPRM yang bertindak menahannya.

Kosmo! semalam melaporkan SPRM dan KPDNKK ber jaya membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang dilakukan Persatuan Nelayan (PNK) di empat buah negeri selepas menahan 19 individu baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment