berita@kosmo.com.my
IPOH - Ahli keluarga Darunee Songserm, 59, dan Areena Songserm, 20, menangis kegembiraan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam apabila mereka yang mulanya turut disenaraikan antara 27 mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands sebenarnya masih hidup.
Identiti Darunee dan anak saudaranya, Areena yang berasal dari Pattani, Thailand bertukar dengan nama dua pelancong wanita senegaranya yang turut berada di dalam bas malang itu iaitu Malee Boonchuan dan Uraiwan Laddaklon.
Malee dan Uraiwan terkorban dalam nahas membabitkan bas ekspres dua tingkat yang membawa sekumpulan 35 pelancong dari Hatyai, Thailand melawat Cameron Highlands sejak Sabtu lalu. Namun, identiti kedua-dua mangsa itu kelmarin tidak dikenal pasti.
Adik Darunee, Aida Mohamad, 36, berkata, sebaik mengetahui nahas tersebut, dia terus menghubungi saudara-maranya di Kampung Tepang, Pattani untuk urusan pengebumian jenazah kakak dan anak saudaranya itu.
"Selepas menonton berita nahas tersebut di televisyen di Hatyai, saya hubungi anak sulung Darunee, Faizal Ismail, 40, di Pattani untuk memintanya pergi ke HRPB bagi proses pengecaman mayat dan urusan bawa pulang jenazah.
"Serentak itu saya juga minta saudara-mara buat persiapan termasuk gali liang lahad," kata wanita itu ketika ditemui Kosmo! di Rumah Mayat HRPB di sini semalam.
Aida memberitahu, setibanya di HRPB pagi semalam, dia kemudian menyemak senarai nama penumpang yang terkorban dan nampak nama Darunee dan Areena yang ditulis pada senarai nama mangsa yang terkorban di papan kenyataan di luar Rumah Mayat HRPB.
"Saya dan Faizal yang sedih kemudian menunggu untuk membuat pengecaman mayat sebelum tiba-tiba diberitahu oleh petugas hospital bahawa ada kemungkinan dua mayat yang mulanya didakwa sebagai Darunee dan Areena mungkin tersalah orang."Kami kemudian disyorkan agar mengecam seorang mangsa wanita belum dikenal pasti identiti yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.
Dia dan Faizal yang kemudian bergerak ke wad HRPB dan merasa amat lega apabila wanita yang cedera itu merupakan Darunee .
Lebih menggembirakan, tidak berapa lama selepas itu, mereka kemudian dibawa mengecam Areena yang juga cedera.
"Kami belum bercakap dengan Darunee yang masih koma manakala Areena pula belum sedarkan diri selepas menjalani pembedahan pada kaki kanannya yang cedera," kata Aida.
Sementara itu, Faizal pula berkata, biarpun berdebar-debar ketika diminta mengecam seorang mangsa cedera, dia dan ibu saudaranya kemudian menarik nafas lega apabila mendapati wanita itu benar-benar ibunya
Bagaimanapun, katanya, dia sayu dengan keadaan ibunya yang masih koma dan badan penuh wayar kerana mangsa cedera teruk di kepala dan dada.
"Doktor kata ada darah beku pada kepala ibu. Saya bersyukur ibu terselamat dan perkara ini bagaikan mati hidup semula," katanya.
Sementara itu, bapa Areena, Nasir Ismail berkata, dia sukar menerima hakikat bahawa anak bongsunya itu dilaporkan terkorban menerusi berita di televisyen kerana pada pukul 3 petang kelmarin Areena ada menghubunginya dan memaklumkan dia hanya cedera di kepala dan kaki.
Ketika menunggu di luar Rumah Mayat HRPB, dia, Aida dan Faizal kemudian didatangi petugas hospital yang meminta mereka membuat pengecaman terhadap dua mangsa yang cedera.
"Saya terus mengikut petugas hospital dan amat bersyukur apabila mangsa yang cedera itu ialah Areena," katanya.
Areena merupakan penuntut tahun tiga jurusan Undang-Undang di Walailak University, Nakhon Sithamarat, Thailand.
No comments:
Post a Comment