Translate

Saturday, February 17, 2018

BN Terengganu yakin ada peluang rampas DUN Bandar

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) yakin berpeluang untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Bandar yang kini dikuasai pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman (gambar) berkata, BN telah mengambil pendekatan mengumumkan calon DUN Bandar iaitu Toh Seng Cheng yang juga Setiausaha MCA Bahagian Kuala Terengganu sejak setahun lalu.

Beliau berkata, Seng Cheng yang lebih mesra dipanggil Ah Cheng oleh masyarakat tempatan merupakan calon baharu yang dikete­ngahkan BN untuk DUN Bandar pada PRU-14.

“Beliau yang dilantik sebagai Pegawai Penyelaras DUN Bandar telah bekerja keras untuk berkhidmat kepada penduduk di dalam DUN tersebut.

“Rakyat kini boleh menilai perkhidmatan yang disumbang Ah Cheng berbanding wakil rakyat sedia ada pada masa ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina DUN Bandar di Kampung Cina di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw dan Seng Cheng.

Ahmad Razif berkata, beliau juga mendapati terdapat perubahan dalam kalangan pengundi DUN Bandar yang memungkinkan berlakunya peralihan sokongan kepada calon BN pada pilihan raya umum kali ini.

Wakil rakyat DUN Bandar ketika ini ialah Azan Ismail daripada Parti Keadilan Rakyat yang menewaskan penyandang, Datuk Toh Chin Yaw (BN) dengan majoriti 2,159 undi pada PRU-13.

DUN terbabit yang berada di dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu berkemungkinan besar bakal menyaksikan pertembu­ngan tiga penjuru membabitkan BN, PKR dan Pas pada PRU-14 kelak.

No comments:

Post a Comment