Translate

Thursday, February 1, 2018

Bahaya tunjuk kaya di laman sosial

HULU TERENGGANU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu mendedahkan kehidupan dan butir peribadi mereka di media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pendedahan gaya hidup dan kekayaan secara keterlaluan di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter boleh mengundang risiko menjadi mangsa jenayah kekerasan.

“Kita mungkin mahu mempromosi perniagaan atau berkongsi aktiviti seharian tetapi secara tidak langsung telah mendedahkan maklumat peribadi yang dikhuatiri menarik minat penjenayah.

“Kes terbaharu, nyawa hampir hilang kerana selalu tayang (buat live) di Facebook,” katanya selepas merasmikan Karnival Mini Usahawan Desa Pusat Internet 1Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai me­ngulas insiden seorang peniaga online, Mohd. Irfan Abdullah, 26, yang cedera parah selepas ditembak perompak di pejabatnya di Banggol Kulim, Rantau Panjang, Kelantan kelmarin.
Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar pula berkata, kegilaan peniaga online untuk mendapatkan ‘like’ atau ‘share’ di laman sosial menyebabkan mereka mudah menjadi sasaran penjenayah.

“Kini menjadi kebiasaan pengguna media sosial memuat naik gambar, mendedahkan identiti diri sendiri, harta dan keluarga mereka bertujuan mendapat perhatian ramai.

“Tanpa sedar kita sebenarnya sedang mengundang penjenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Sementara itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim menasihatkan orang ramai menitikberatkan aspek keselamatan sebelum me­lakukan aktiviti online.

“Tindakan mempamerkan kemewahan seperti yang dilakukan Mohd. Irfan dan sebelum ini jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri boleh mencetuskan kejadian jenayah,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment