Translate

Friday, September 1, 2017

Tiga wanita maut nahas dua kereta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

MARANG – Tiga wanita termasuk seorang guru maut dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 42 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Gong Balai di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, pemandu Pe­rodua Viva, Zaimah Abdul Rahman, 54, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Awang Jabar, di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Turut terkorban ialah pemandu kereta Proton Saga, Kamariah Draman, 44, dan kakak tirinya, Rohimah Baru, 53, manakala seorang lagi yang menaiki kereta sama mengalami kecederaan.

Kamariah merupakan pembantu tadbir Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Dungun manakala Rohimah pula ialah penyelia asrama di sekolah yang sama.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika Zaimah dalam perjalanan ke sekolahnya untuk mengajar kelas tambahan anak muridnya yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Viva yang dipandu guru tersebut tiba-tiba dirempuh dari hadapan oleh sebuah kereta Proton Saga.
“Proton Saga dipandu Kamariah dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Impak daripada pelanggaran itu menyebabkan bahagian hadapan dua kenderaan tersebut remuk teruk menyebabkan semua mangsa tersepit di dalam kereta,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, Kamariah dan kakak tirinya, Rohimah serta seorang lagi penumpang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari rumah masing-masing di Dungun.
“Anggota bomba terpaksa mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan semua mangsa dan mayat ketiga-tiga wanita itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar SMK Datuk Awang Jabar, Muhammad Abdin Syakirin Ahmad Yusup, 17 berkata, gurunya iaitu Zaimah sepatutnya mengajar kelas tambahan bagi subjek Bahasa Melayu pada pukul 8 pagi.
Namun katanya, sehingga 8.20 pagi, beliau tidak muncul dan pelajar menganggap guru mereka mempu­nyai perkara yang lebih penting.

“Tidak lama selepas itu, kami ada terbaca menerusi kumpulan WhatsApp mengenai sebuah kereta Viva berwarna putih terlibat dalam kemalangan, namun tidak sangka ia adalah kereta cikgu,” katanya.

No comments:

Post a Comment