Translate

Thursday, January 12, 2017

Waris anggota APM terima pencen penakat Perkeso

HULU TERENGGANU - Waris Mohd. Syawal Mohd. Yusof, 35, yang merupakan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba sewaktu menyertai operasi mencari dan menyelamat pada awal Disember lalu mula menerima pembayaran faedah pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.
Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yacob berkata, balu Allahyarham, Anisha Jusoh @ Jaafar, 34, dan dua anak mereka, Muhammad Akif Irfan, 11, dan Muhammad Aqil Isyraf, 6, menerima faedah pencen penakat sebanyak RM650 sebulan.
"Siasatan Skuad Prihatin Perkeso mendapati Mohd. Syawal pernah mencarum dengan agensi ini sebelum menyertai APM Hulu Terengganu pada tahun 2012.
"Walaupun Allahyarham sebagai penjawat awam tidak mencarum dengan Perkeso sewaktu meninggal dunia namun data kami mendapati carumannya sewaktu berkerja dengan syarikat swasta sebelum ini melepasi had untuk menerima faedah pencen penakat," katanya kepada pemberita.
Cek faedah pencen penakat bulan ini disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang kepada Anisha di Kampung Mia, Tanjung Putat, Kuala Berang di sini hari ini.
Kosmo! Ahad 4 Disember lalu melaporkan Mohd. Syawal yang merupakan anggota APM daerah ini meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah sewaktu menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang pemancing yang dilaporkan hilang di kawasan belukar berhampiran Sungai Lut, Felda Jerangau Barat, Ajil dekat sini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment