Translate

Tuesday, October 31, 2017

Tukang kebun maut dirempuh van

KEMAMAN – Seorang tukang kebun maut selepas dirempuh secara tidak sengaja oleh sebuah van jenis Nissan Venette di kawasan meletak kenderaan Kelab Golf Rantau Petronas (KGRP), Kerteh dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, Hashim Awang, 58, yang sedang melakukan kerja-kerja am maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dalaman badannya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim memberitahu Kosmo! di sini semalam, kejadian berlaku selepas seorang lelaki berusia 20 tahun dikatakan mahu mengalihkan van jenis Nissan Venette terbabit.

Wanita maut, empat lagi parah Toyota Hilux terbabas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN - Seorang wanita maut manakala empat lagi ahli keluarganya cedera parah dalam  kemalangan di Kilometer 67.8, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kuala Abang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.40 pagi itu, Shairani Su, 50, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah ke kepala dan beberapa anggota badan.

Dua anak wanita terbabit iaitu Wan Shazwan Alif Wan Husin, 23, dan Wan Shakir Wan Husin, 10, serta abangnya Rohimi Su, 53 dan ibu saudaranya,  Amnah Seman, 72 pula mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan ke rumah saudara mereka di Balai Besar di sini dari Kampung Santan Baruh, Kangar, Perlis.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dipandu Wan Shazwan Alif tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas sebelum terbalik.

"Shairani yang duduk di tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar sejauh beberapa meter dari kenderaan itu sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zailani berkata, mayat Shairani telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat.

"Empat mangsa lain yang cedera parah juga telah di bawa unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan," ujarnya.

Pemerkasaan TVET mula nampak impak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Penekanan kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknokal dan Vokasional (TVET) sejak tahun 2013 mula menampakkan impak apabila 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini didapati telah memilih untuk menyambung pelajaran di politeknik di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan positif itu mampu merealisasi hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja bermahiran tinggi dan separa mahir dalam kalangan warga asing pada masa hadapan.
Beliau berkata, lebih membanggakan 85 peratus daripada graduan lepasan politeknik pada masa ini memperolehi pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian masing-masing.
"Kerajaan memberi penekanan terhadap TVET dan saya berharap dengan adanya politeknik ke-34 dan ke-35 masing-masing di Besut dan Bagan Datuk (Perak) ini, kita dapat melahirkan lebih ramai pekerja bermahiran tinggi dan separa mahir untuk memenuhi keperluan negara.
"Oleh itu, kita dapat menghentikan pengambilan pekerja bermahiran tinggi dan separa mahir asing pada masa akan datang. Mungkin selepas ini, kita hanya mengambil pekerja asing bagi pekerjaan 3D (sukar, bahaya dan kotor)," katanya.
Beliau berkata demikian merasmikan majlis pecah tanah Politeknik Besut yang bakal menelan belanja RM167 juta di kawasan seluas 28 hektar di Bukit Keluang dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman. - K! ONLINE