Translate

Sunday, October 4, 2026

Tinggal gaji lumayan Singapura ‘kejar’ jadi usahawan bot

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Keputusan nekad seorang lelaki meninggalkan pekerjaan bergaji lumayan di Singapura 14 tahun lalu demi berada lebih dekat dengan keluarga ternyata berbaloi apabila dia kini muncul antara pembuat bot fiber berjaya di sini.

Nasarudin Hussin, 43, berkata, dia kini menyasarkan penjualan sekurang-kurangnya dua buah bot fiber sebulan bernilai sehingga RM20,000 sebuah.

Menurutnya, dia pernah be­kerja dalam sektor pembinaan di Singapura sejak tahun 2003, namun terpaksa berjauhan daripada isteri, anak-anak dan ­keluarga.

“Ketika itu gaji memang lumayan, tetapi saya terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk tempoh yang lama.

“Pada 2012, saya buat keputusan berhenti kerja dan pulang ke tanah air. Demi meneruskan kehidupan, saya memanfaatkan kemahiran yang ada untuk menghasilkan bot fiber,” katanya di bengkelnya di Kampung Baharu, di sini, semalam.

Menurutnya, dia belajar membuat bot fiber sewaktu berusia 18 tahun di kampung halaman di Rantau Abang, Dungun sebelum berkelana ke Singapura selepas itu.

Katanya, biarpun cuma dua tahun menimba ilmu di bengkel pembuatan bot fiber itu, kemahirannya tidak hilang.

“Saya beranikan diri membuka bengkel pembuatan bot fiber di Kampung Baharu ini yang ­merupakan kampung halaman isteri.

“Alhamdulillah tempahan tidak pernah putus antara dua hingga tiga buah bot fiber sebulan sejak mula dibuka,” katanya.

Tambahnya, pelanggannya bukan sekadar dari sekitar Terengganu, malah negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Kedah.

“Selain nelayan pesisir pantai dan pemancing, tempahan juga diterima daripada individu yang mahu membuat persediaan menghadapi banjir musim tengkujuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment