Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu percaya dengan seorang lelaki yang mengaku mampu ‘menarik’ duit, seorang suri rumah terputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM80,000 lesap akibat ditipu.
Perkara itu terbongkar selepas mangsa yang berusia 73 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini pada pukul 4.17 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati wanita itu melihat satu hantaran berhubung aktiviti ‘menarik’ duit di Facebook tahun lalu.
“Mangsa tertarik apabila suspek mendakwa boleh mendapatkan bantuan wang ghaib secara dalam talian.
“Warga emas itu teringin mendapatkan wang segera untuk membaiki rumah, melangsaikan hutang dan menyumbang kepada anak yatim kemudiannya menghubungi suspek,” katanya di sini, hari ini.
Azli berkata, mangsa tidak memperoleh habuan walaupun sudah mengikuti syarat yang ditetapkan dengan membuat pembayaran sebanyak RM30,000 kepada suspek.
Suri rumah itu masih bersangka baik walaupun tidak menerima wang sebelum dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa wang ghaib tersebut berada dalam tangannya.
“Mangsa diarahkan membayar sebanyak RM50,000 kononnya sebagai denda kerana lewat mengambil wang tersebut,” katanya.
Tambahnya, mangsa sekali lagi diperdaya apabila mengikuti arahan itu selepas diyakinkan oleh lelaki yang ‘menarik’ wang ghaib tersebut. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment