Translate

Tuesday, October 20, 2026

PN persoal pembatalan RoS sehari sebelum kes ke mahkamah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempersoal tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu sehari sebelum kes permohonan semakan kehakiman mencabar perintah penggantungan sebelum ini didengar di mahkamah.

Naib Presiden Pas tersebut mendakwa tindakan tersebut seolah-olah telah diatur selari dengan garis masa pengisytiharan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

“Apa yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah satu tindakan luar biasa, yang boleh jadi luar tabii.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) baru dua hari lalu menghantar surat kepada PN untuk memberi respon penggunaan logo PN (yang) jelas bermotifkan ketakutan kepada gabungan ini,” dakwanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu RoS telah membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan kepimpinan gabungan pembangkang tersebut gagal menyangkal asas pembatalan pendaftaran selain tidak memberikan justifikasi kukuh bagi mengekalkan pendaftaran pertubuhan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu membenarkan permohonan PN untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perintah RoS yang menggantung semua kegiatan gabungan tersebut.

Ahmad Samsuri bagaimanapun mengingatkan perkembangan terbaharu itu tidak akan melemahan keazaman PN untuk menghadapi PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Sebaliknya, Menteri Besar Terengganu itu mendakwa gelombang rakyat yang bersama PN tidak akan mudah padam. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment