Translate

Saturday, October 3, 2026

Murid patah kaki dihempas guru dapat ganti rugi RM47,000

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki yang patah kaki kanan selepas dikasari guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) empat tahun lalu akhirnya mendapat pembelaan apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan ganti rugi berjumlah RM47,000.

Hakim Yusrin Faidz Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Muhammad Izz Anaqi Mohd. Izwan yang kini berusia 13 tahun selaku plaintif.

Beliau mengarahkan dua defendan iaitu guru KAFA, Ahmad Mursyidin Abdullah, 41, dan majikannya, Yayasan Islam Terengganu (YIT) membayar ganti rugi am kecederaan RM30,000 berserta kos RM17,000 dan faedah terhadap remaja tersebut.

Beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang sebelum ini menolak tuntutan Muhammad Izz Anaqi pada 16 Februari lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang dikemukakan ibu plaintif, Nor Azlina Mohamad Yasin, 41, defendan pertama, Ahmad Mursyidin didakwa menghempas mangsa ke atas kerusi pada pukul 3.30 petang, 6 Julai 2022.

Muhammad Izz Anaqi yang kini menyambung pelajaran di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak dapat berjalan pulang ke rumah selepas kelas tersebut sebelum dirujuk ke sebuah klinik swasta.

Pihak klinik mengesahkan kaki kanan plaintif patah berdasarkan imbasan x-Ray.

Sementara itu, bapa Muhammad Izz Anaqi, Mohd  Izwan Ahmad Saidi, 40, berkata, insiden yang berlaku empat tahun lalu itu bukan sahaja menyebabkan kaki anaknya patah, malah mendatangkan trauma berpanjangan terhadap remaja tersebut.

“Dia (Muhammad Izz Anaqi) terpaksa memendam rasa dipandang serong sepanjang berada di sekolah rendah kerana mengambil tindakan perundangan terhadap gurunya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment