Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Seorang ibu cekal menjaga enam anaknya termasuk seorang yang menghidap masalah gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) biarpun dia sendiri uzur menghidap pelbagai penyakit kronik.
Normahera Kholid, 39, berkata, dia terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu berikutan kegagalan buah pinggang sejak bulan lalu.
“Keadaan ini impak daripada penyakit tiga serangkai iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan jantung yang saya deritai sejak hampir 10 tahun lalu.
“Selain itu, penyakit sama turut menyebabkan tahap penglihatan saya kian kabur,” katanya ketika ditemui rumahnya di Kampung Renek, di sini semalam.
Katanya, biarpun kudratnya semakin lemah terutama selepas menjalani rawatan dialisis berkala, namun dia tetap menggagahkan diri untuk menguruskan anak-anak terutama Muhammad Iffat
Anaqi, 6, yang baru disahkan orang kurang upaya (OKU) pada bulan Mac lalu.
Katanya, kebanyakan masa, dia terpaksa menguruskan rumah tangga dan anak-anak bersendirian memandangkan suaminya, Mohd. Nazri Mohd. Zarawi, 38, terpaksa bekerja di Jeli, Kelantan untuk mencari rezeki.
“Mujur ahli keluarga yang tinggal berdekatan banyak membantu terutama menjaga Iffat Anaqi yang merupakan anak kelima terutama sewaktu saya perlu menjalani rawatan dialisis di Hospital Besut.
“Anak saya (Iffat Anaqi) yang menghidap ADHD memerlukan tumpuan khas kerana baru belajar bercakap dan kebanyakan masa dia seakan berada dalam dunianya sendiri,” katanya.
Normahera berkata, sebelum ini dia terpaksa memberhentikan Iffat Anaqi di tadika ekoran agak lasak dan sukar dikawal.
Katanya, anak kelimanya itu berkemungkinan akan dihantar ke sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, Normahera memberitahu, dia juga terpaksa berbelanja kira-kira RM200 seminggu termasuk membayar upah individu menghantarnya ke hospital bagi menjalani rawatan dialisis.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank bernombor 0301841000037310 (Bank Simpanan Nasional) atau hubungi Normahera di talian 019-903 7951.

No comments:
Post a Comment