Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Umat Islam diseru agar menghayati amalan sunnah secara berterusan dan berakhlak mulia sebagai menzahirkan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kecintaan terhadap Rasulullah perlu diterjemah menerusi amalan sunnah biarpun dalam hal kecil secara berterusan.
“Meneladani Rasulullah tidak mencukupi dengan hanya pengakuan kecintaan semata-mata.
”Baginda mengajar nilai sesuatu amalan bukan semata-mata banyaknya perbuatan tetapi pada keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakannya,” titah baginda di Stadium Negeri di sini hari ini.
Baginda bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu.
Tengku Muhammad Ismail bertitah, Nabi Muhammad juga mengajar amalan yang berterusan walaupun sedikit paling dicintai Allah.
Sehubungan itu, baginda menyeru umat Islam melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri dengan Allah.
“Dekatkan diri kepada Allah dengan memelihara perkara wajib, memperbanyak kebajikan, menabur jasa serta memberi manfaat sesama insan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment