Translate

Saturday, September 26, 2026

Kulit berkualiti rahsia bunyi rebana

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Dua beranak gigih menerusi legasi pembuatan rebana yang merupakan salah sebuah peralatan muzik tradisional Melayu yang kian luput ditelan zaman.

Hapizi Hussin, 44, berkata, dia merupakan generasi ketiga me­ngusahakan pembuatan rebana yang dirintis arwah datuknya, A Ghani Yusof.

“Kemahiran itu diwarisi ayah, Hussin, 67, sebelum saya mengikut jejak mempelajari pembuatan rebana sewaktu berusia 18 tahun lalu.

“Asalnya sekadar mahu membantu ayah menyiapkan tempahan, kini kami berganding bahu menjadikannya sebagai sumber rezeki,” katanya ketika ditemui di bengkel perusahaan mereka di Kampung Gong Ubi Keling, di sini semalam.

Hapizi berkata, pada mulanya, awal datuknya menghasilkan rebana untuk kegunaan sendiri bagi mengiringi persembahan dikir barat dan silat di sekitar daerah ini dan sekitar.

Katanya, bapanya, Hussin mula mengkomersialkannya mulai tahun 1990-an setelah mendapat permintaan menggalakkan daripada agensi kerajaan dan peminat muzik tradisional Me­layu termasuk dari negara jiran.

“Antara rebana yang kerap ditempah pelanggan ialah rebana ubi dan dikir serta gendang silat.

“Selain dijadikan alat muzik, banyak juga permintaan bagi dijadikan cederamata terutama rebana dikir,” katanya.

Hapizi berkata, kerangka rebana biasanya diperbuat daripada kayu pokok nangka, cempedak dan pauh.

Menurutnya, kulit kambing pula digunakan dalam pembuatan rebana dikir manakala kulit lembu bagi rebana ubi.

“Pemilihan kulit haiwan berkualiti sangat penting kerana ia akan mempengaruhi bunyi dihasilkan kelak.

Hapizi berkata, secara purata, dia dan bapanya mampu menghasilkan 60 buah rebana pelbagai jenis dalam sebulan.

Dia berkata, selain untuk pelanggan seluruh negara dan Singapura, rebana mereka yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM3,500 sebuah juga dijual di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan. -KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment